Kenapa Pemandu Lori Nampak ‘Malas’ Tutup Enjin? Ini Jawapannya
Pernah tertanya kenapa lori besar yang berhenti di R&R atau tepi jalan tak tutup enjin? Ramai anggap pemandu lori “malas” atau “bazir minyak”, tapi hakikatnya ada sebab teknikal dan keselamatan di sebalik tindakan ini.
Mari kita faham beberapa sebab utama:
1. Sistem Angin (Air Brake System) Perlukan Tekanan Mencukupi
Kebanyakan lori berat guna sistem brek jenis angin. Tekanan angin ini dipam oleh kompresor yang bergerak apabila enjin hidup. Kalau enjin dimatikan, tekanan angin dalam tangki akan perlahan-lahan berkurang. Tanpa angin, brek tak akan berfungsi — kecuali pemandu guna stopper tayar (wheel chock) secara manual.
Sebab itu, sebelum bergerak — terutamanya selepas lori diparkir semalaman — pemandu akan hidupkan enjin dan biarkan idling (berdengung) untuk penuhkan semula tekanan angin, demi keselamatan.
2. Hidupkan Enjin Diesel Memerlukan Tenaga Elektrik Tinggi
Enjin diesel bukan seperti enjin biasa. Untuk menghidupkan semula, bateri perlu berikan tenaga elektrik yang tinggi kepada starter bagi memusingkan flywheel dan crankshaft. Proses ini berat, dan jika terlalu kerap matikan-hidupkan enjin, starter dan bateri mudah rosak.
Lagi parah kalau tiba-tiba bateri kong masa berhenti di R&R — bukan saja lambat gerak, tapi boleh menyusahkan diri dan pengguna jalan lain.
3. Enjin Diesel Lebih Cekap Bila Suhu Kekal Panas
Enjin diesel lama ada sistem pembakaran yang lebih efisien bila suhu enjin cukup panas. Sebab tu model-model lama ada heater plug yang perlu dipanaskan sebelum boleh start.
Kalau terlalu kerap matikan enjin, suhu turun dan pembakaran jadi kurang cekap. Jadi, lebih baik dibiarkan hidup dalam mod idling.
4. Keselesaan Tidur Pemandu Jarak Jauh
Bagi pemandu jarak jauh, tempat rehat bukan semata-mata untuk berhenti — ia masa untuk tidur dan pulihkan tenaga. Tidur dalam lori dengan aircond tak mungkin boleh dibuat kalau enjin dimatikan.
Ada majikan yang minta pemandu matikan enjin untuk “jimat minyak”, tapi hakikatnya ia tak praktikal dan kadang-kadang membahayakan kesihatan pemandu. Kalau nak jimat sangat, elok bos tu sendiri bawak lori.
Kesimpulan
Tindakan pemandu lori biarkan enjin hidup bukanlah kerana mereka “malas” atau “saja bazir minyak”. Ia soal keselamatan, teknikal, dan keperluan sebenar dalam operasi kenderaan berat. Bagi yang tak pernah alami, mudah nak salah faham. Tapi lepas tahu fakta ni, harapnya kita boleh lebih faham dan hormat kerja mereka.
Ulasan
Catat Ulasan