Pengalaman Banjir Kuantan 2021: Day 2

 Selepas kami berjaya menjumpai bilik yang sesuai untuk kami tinggal sementara,  kami pun mula berehat. Bilik yang kami jumpa adalah kelas tingkatan 5. Antara sebab kenapa bilik ini masih kosong ketika kami sampai adalah kerana di sini terdapat kebocoran atap. Oleh kerana hujan tak berhenti maka lantai bilik ini basah dengan air di bahagian tepi. Kami alihkan meja-meja di dalam kelas itu dan mula membuat satu kawasan yang sesuai untuk kami baring di bahagian tengah bilik.
 Masa sudah menunjukkan pada pukul 6 pagi. Walaupun kami tidak tidur semalaman tapi kami rasa tidak mengantuk langsung sebab perasaan panik lebih tinggi daripada perasaan ingin tidur. Saya juga risau tentang keadaan kereta saya yang parking di Taman Seri Inderapura. Mungkin paras air makin meningkat dan kereta saya tenggelam terus. 
 
   Kami ke sini dengan membawa pakaian dan alatan mandi sahaja. Bilik kami berdekatan dengan tandas. Faham-faham sajalah tandas disekolah bukan semuanya boleh digunakan. Air dari pili pun kecil sahaja. Oleh kerana tandas perempuan sahaja yang ada air maka lelaki pun terpaksa menggunakan tandas perempuan. Senang kata tandas terpaksa dikongsi. Apa boleh buat .....darurat.

 Oleh kerana ramai yang mula bergerak dari rumah pada pukul 12 ataupun 1 pagi, maka ramai yang tak sempat charge handphone masing-masing secukupnya. Biasanya orang cas handphone semasa tidur tapi bila tidur pun tak cukup maka charge handphone pun tak cukup juga. Saya juga dapati khidmat telefon juga terganggu. Bar cuma ada satu ataupun tiada berlangsung. Sekolah juga gelap ketika itu kerana elektrik telah diputuskan. Maka jika kita bawa charger sekalipun kita masih tidak boleh cas handphone.
 Selepas sembahyang subuh dan keadaan mula cerah saya dan isteri mula bergerak keluar sekolah untuk melihat keadaan kereta saya yang parking di depan Taman Seri Inderapura. Keadaan amat menyedihkan kerana saya melihat banyak kereta yang hanyut ditolak air banjir termasuklah kereta saya. Saya cuma boleh melihat dari kejauhan sahaja iaitu dari atas jejantas. Ada juga kereta yang hampir ditolak hingga ke tepi longkang besar. Nasib baik ada satu pokok yang menghalang kereta itu dari terus masuk ke longkang besar. Jika bukan kerana pokok tu, mungkin kereta itu terus masuk dan hanyut ke dalam sungai.

 Setelah melihat kereta kami pun masuk kembali ke sekolah. Kami ke tempat urusetia untuk mengetahui perkembangan selanjutnya. Masa saya sampai di tempat urusetia saya dapati ada satu perempuan yang cuba menguruskan Hal Ehwal kami yang tinggal di sekolah tersebut. Dari gaya percakapan dan juga pakaiannya saya dapat jangkakan yang dia adalah cikgu sekolah. Di situ juga terdapat beberapa orang yang sudah kumpul untuk bertanyakan soalan-soalan terutamanya tentang bantuan. Namun saya dapati banyak soalan tidak dapat dijawab. Katanya dia kena tunggu jawapan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan minta kami bersabar.
 Kemudian kami terdengar suara dari pembesar suara yang memanggil kami untuk datang ke urusetia dan mendaftar. Hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan untuk mendaftar di sini. saya difahamkan pendaftaran ini bukan sahaja untuk tujuan kemasukan ke pusat pemindahan sementara sahaja tapi Ia juga adalah bertujuan untuk memberi bantuan selepas banjir. Maka pendaftaran ini adalah amat penting. Kalau tak mendaftar ada kemungkinan ada tak dapat bantuan dari kerajaan Walaupun rumah anda rosak teruk akibat daripada banjir.


 Pagi itu tiada makanan yang disediakan dan kami mula berasa lapar. Selain itu kami juga terasa haus sebab takkanlah nak minum air paip sekolah saja kan? Saya lihat ramai juga penghuni sekolah tersebut mula marah-marah dan kesian juga saya lihat cikgu-cikgu yang bertugas untuk menolong kami. Sebenarnya ramai yang tak tahu yang mereka tu sebenarnya cikgu sekolah dan bukanlah orang Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

 Tengah hari barulah bantuan sampai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Antara bantuan yang diberikan adalah makanan, bantal, selimut, Toto, tikar berkelah, kain pelikat namun bilangannya cuma 50 unit untuk setiap barangan sahaja. Saya difahamkan bilangan keluarga yang tinggal di dalam sekolah tersebut adalah sebanyak 250 keluarga. Ini menimbulkan kemarahan sekali lagi di kalangan mangsa banjir. Akhirnya urusetia memutuskan untuk setiap keluarga hanya boleh menerima satu barang sahaja. Keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai anak kecil dan juga OKU. Oleh kerana Toto harganya mahal dah tentu lah ramai yang nak pilih Toto.

 Kami bersyukur walaupun kami cuma dapat tikar berkelah sebab dengan tikar berkelah tu kami masih boleh tidur di atas lantai. Makanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat agak menyedihkan tapi ianya lebih bagus dari tiada langsung. Seingat saya nasi berkuah cair dan telur rebus sahaja. Malangnya saya dan anak tak makan telur rebus. Pernah cuba makan tapi muntah balik bila dah sampai tekak.

 Saya bersyukur kerana isteri saya memang stamina kuat dan selalu masuk marathon. Maka dia mengambil keputusan untuk pergi membeli makanan di pasar raya berdekatan dengan berjalan kaki. Jaraknya hampir tiga kilometer juga dan perlu meredah air di beberapa kawasan.  Saya tak dapat nak teman sebab selalu semput. Setelah hampir dua jam isteri saya pun pulang membawa makanan. Secara asasnya makanan yang dibawa pulang adalah makanan ringan untuk mengalas perut. 
 Pada waktu hampir senja iaitu pada pukul 7 malam tiba-tiba elektrik mula ada. Masa tu kedengaran satu sekolah bersorak. Tanpa membuang masa kami pun mencari charger dan mula cucuk ke plug yang ada dalam kelas. Malangnya plug yang ada di dalam kelas kami tidak berfungsi. Kami cuba mencari plug di kelas lain namun dah tentulah 
 kelas lain dihuni oleh penghuni yang lain. akhirnya kami dapat jumpa plug yang berfungsi di kantin sekolah.  Saya difahamkan TNB telah memanggil kontraktor untuk membawa generator ke sekolah tersebut.

 Malam itu kami tidur awal. Seingat saya kami tidur pada pukul lapan setengah malam selepas sembahyang Isyak. Maklumlah  
sebab hampir 24 jam kami tidak tidur kerana melayan banjir. Anak-anak tidur di atas tikar berkelah dan saya cuma tidur di atas 10 kerusi yang sudah disusun seperti katil. Saya ni jenis yang susah nak tidur tapi tak tahulah kenapa saya boleh tidur lena di atas kerusi yang tak sekata ini. Bukan tu saja malah keras pula tu.

 Oleh kerana sekolah dikelilingi air, maka suhu di sekitar sekolah tersebut agak sejuk berbanding biasa. Saya tiada thermometer tapi saya boleh katakan yang suhu persekitaran situ lebih sejuk dari tidur di Cameron Highland. Selain dari dikelilingi air mungkin faktor tiada tiada tingkap dan juga lantai simen menyebabkan suhunya lebih sejuk dari Cameron Highlands.  Kami semua tidur dalam keadaan menggeletar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan