Bila peminjam Lppsa mula bayar ansuran rumah?

Loan rumah LPPSA!
.
Yang kerja kerajaan mesti tahu LPPSA tu apa. Lppsa adalah singkatan kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam yang
merupakan badan berkanun bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan penjawat awam.
.
 jika anda bekerja kerajaan dan juga merancang untuk membeli rumah pertama, anda adalah disarankan untuk menggunakan loan lppsa terlebih dahulu. antara kelebihan menggunakan loan lppsa adalah:

⚫ Interest rate tetap 4% sepanjang tempoh pinjaman. Berbeza dengan loan bank dimana Interest rate boleh berubah.
⚫ Kelayakan pinjaman lebih tinggi kerana tidak mengira hutang luar dengan bank. 
⚫ Loan agreement percuma
.
Untuk kali ni, saya nak share pasal pengecualian progress payment sampai 24 bulan kalau beli rumah yang sedang dalam pembinaan dari developer.
.
Maksudnya, bila kita beli rumah projek baru, start bulan ke-25 baru kena bayar.
.
Berbeza dengan yang beli rumah guna loan bank, dimana bank akan mengeluarkan atau membayar developer mengikut progress projek perumahan tersebut. Contohnya jika progress sudah 30%, maka developer akan meminta bank bayaran sehingga 30% dari harga rumah. Setelah bank mengeluarkan atau membayar 30% ke developer, maka bank akan minta peminjam bayar 30% dari bayaran bulanan yang sepatutnya peminjam bayar sebulan. Inilah rantaian nya secara mudah supaya anda faham. Bayaran sebenar bank akan kira dan bagitahu peminjam berapa yg peminjam perlu bayar. Biasanya notis melalui surat dan disitu juga tertera tarikh mula bayaran perlu dibuat.

Berbeza dengan Lppsa, anda dikecualikan untuk bayaran pinjaman bagi 2 tahun pertama atau sehingga anda dapat kunci( yg mana dahulu.)
.
Cuma, kena bersedia. Sebab bermula bulan ke-25, anda dah kena start bayar. Walaupun rumah masih dalam pembinaan dan tak siap lagi. Maklumlah zaman COVID ni banyak juga projek terjejas dan lari dari perancangan asal.
.
Contohnya projek tu siap dalam masa 4 tahun (48 bulan). Bermula bulan ke-25, anda perlu bayar penuh sampai projek tu siap pada bulan ke-48. Ramai yang tak tahu pasal ni. Tiba-tiba tengok payslip dah kena potong untuk bayar rumah pada bulan ke-25. Wadduhhh...
.
Jadi, pada yang tengah merancang nak beli rumah guna LPPSA, take note pasal benda ni. Bersedia dari awal.
.
Dalam masa 24 bulan tempoh bertenang tu dah boleh menyimpan atau kawal perbelanjaan sedikit demi sedikit. Nanti dah start kena bayar takde la terasa beban sangat kan?
.
Sedikit perkongsian semoga bermanfaat.

Kos tambahan dalam pembelian rumah yg mungkin bakal pembeli belum tahu

Kalau beli rumah developer, selalunya pihak developer akan tawarkan pelbagai pakej menarik. Contohnya mungkin boleh dapat zero deposit, free lawyer,  dsb.

Situasi ini tidak sama dengan rumah subsales dan ramai bakal pembeli terkejut bila pertama kali dengar yang mereka perlu sediakan duit yang banyak untuk membeli rumah subsales. Ni yg saya nak kongsikan supaya bakal pembeli lebih bersedia.

Standard untuk beli rumah subsales(2nd hand), pihak pembeli perlu ada 

✅10% deposit 

✅ anggaran 5.5% untuk lawyer uruskan proses jual beli untuk pihak pembeli.

✅ anggaran 0.3% untuk bank hantar jurunilai.

Senang kata pembeli kena ada wang tunai atau pendahuluan sebanyak 15.8% dari harga rumah untuk beli rumah.

Deposit
Secara asasnya bank hanya menawarkan pinjaman 90% sahaja untuk rumah pertama dan kedua. Selain itu 10% deposit sebagai modal untuk tuan rumah mulakan proses jual beli. Boleh keluarkan duit KWSP jika layak. Separuh dari owner jual rumah sebab masalah kewangan dan tak mampu nak dahulukan duit mereka untuk kos penjualan rumah tersebut.

Eh jual rumah kan dapat duit! Takkan penjual tak ada duit kot untuk kos penjualan rumah tu?

Jual rumah bukan masa tu juga dapat duit. Kalau pembelian rumah dengan wang tunai, penjual mungkin dapat duit keseluruhan selepas 2 bulan perjanjian jual beli ditandatangani. Kalau loan bank pula biasanya 4 bulan. Loan Lppsa pula 7 bulan dan ambil masa yg lebih lama jika pembeli adalah tentera. Ni anggaran dari pengalaman saya secara purata. Saya difahamkan dari agen Lppsa bahawa pemohon tentera perlu pergi ke MINDEF di KL dan malangnya ramai yg tak ada masa nak ambil cuti untuk pergi ke KL. Jadi pembeli dari golongan tentera akan ambil masa yg lebih lama untuk penjual dapat duit keseluruhan. 

 Kalau pembeli mempunyai kurang dari 10% deposit, mungkin boleh bincang dengan owner untuk kurangkan ke 5% contohnya. Tapi tanpa deposit, separuh dari penjual tak nak teruskan jual beli walaupun anda berjaya dapat 100% loan. 

Yuran guaman
Beli rumah tak sama dengan beli ikan di pasar. Pertukaran hak milik memerlukan dokumen yang banyak, proses yang panjang serta mengikut undang-undang yang sah. Walaupun anda membeli rumah tersebut dengan menggunakan wang tunai, anda mesti melalui peguam untuk urusan pertukaran hak milik.

 Antara dokumen yang penting dalam pertukaran hak milik ini adalah Perjanjian Jual Beli atau dalam bahasa Inggeris nya Sales and purchase agreement(SPA). Perjanjian ini adalah dokumen persetujuan antara pembeli dan juga penjual. Kedua-dua pihak ada bahagian masing-masing dalam yuran Guaman ini tetapi yuran guaman pembeli adalah lebih tinggi daripada yuran Guaman penjual kerana yuran Guaman penjual tidak melibatkan banyak dokumen dan proses berbanding dengan pembeli.

 Jika anda membeli Hartanah tersebut dengan menggunakan loan bank, ada satu lagi perjanjian iaitu loan agreement. Ini adalah perjanjian antara pembeli dan juga pihak bank yang memberikan pinjaman.

 Selain daripada perjanjian yang disebutkan tadi pihak peguam juga akan menguruskan perkara-perkara yang wajib dibayar kepada kerajaan contohnya stamp duty dan dokumen dokumen lain yg kerajaan akan kenakan bayaran.

Valuation fee
Biasanya dalam pembelian rumah dengan menggunakan loan,  kita akan cuba mohon loan dari 2~3 bank. Jika lulus bank akan keluarkan surat tawaran atau letter offer. Dari situ kita akan cuba bandingkan offer dari setiap bank. Lepas dah jumpa mana yg sesuai dengan kita, barulah kita sign letter offer tersebut.

Kemudian bank yg pembeli pilih tadi akan melantik dan hantar jurunilai ke rumah yang nak dibeli. Setelah dinilai, jurunilai akan hantar valuation report ke bank. Tanpa report ini bank tak boleh nak ke proses yang selanjutnya. 

Bayaran akan dikenakan oleh pihak jurunilai kepada pembeli secara terus. Ianya ikut harga rumah dan mungkin ada kriteria lain lagi. Boleh jadikan jadual dibawah sebagai panduan.

Jika anda membeli rumah berharga RM300k,
Anggaran valuation fee ataupun yuran jurunilai adalah seperti dibawah

RM100k pertama = 100,000*0.0025=RM250
RM200k kedua = 200,000*0.002= RM400

Maka anggaran yuran jurunilai atau valuation fee adalah RM650. Tapi ni anggaran saja tau.

Kesimpulannya
 Senang kata pembeli kena ada wang tunai atau pendahuluan sebanyak 15.8% dari harga rumah untuk beli rumah. Kalau kos sebenar dapat kurang dari ni tak apa dan anggaplah ianya rezeki. Paling tidak kita dah bersedia dari segi kewangan. Harap maklumat ini membantu.

Rumah Teres PRIMA BBSAP Manjung untuk dijual

RUMAH PRIMA TERES SETINGKAT DI BBSAP, MANJUNG, PERAK

*(FREEHOLD REZAB MELAYU)*

🏡 Teres Setingkat
3BILIK 2BILIK AIR 

Harga bermula 
RM 198,405
20 x 70
😱 Cashback RM 10K

JANGAN PENING-PENING
❗Tiada caj guaman
❗Tiada caj pindahmilik
❗Tiada bayaran pendahuluan

APA YANG BESTNYE KALAU BELI PROJEK NI?
🥰 Taman Permainan Air
🥰 Padang Sasar Golf 
🥰 Gelanggang Badminton
🥰 Kolam Renang 
🥰 Gym
 
Kawasan perbandaran baru. 
Gated area!! 

Jom semak kelayakan anda segera!!

 Booking hanya Rm100 SAHAJA !

En. Nazree

Daftar eccris tak sampai 10 minit untuk dapatkan report kad kewangan anda

Sekarang dah boleh daftar eccris dalam masa 10 minit saja!
Sebelum cerita pasal e-ccris ni, apa tu ccris?
.
Senang cerita ccris ni adalah report profil kewangan kita di Bank Negara. 
.
Dulu masa zaman sekolah anda mesti ada report card kan? Report yang tulis subjek dapat berapa markah, perangai kita sekolah macam mana, cikgu tulis guna pen biru ke pen merah.
.
Jadi, bila orang baca report card sekolah tu, orang tahu 'perangai' dan 'prestasi' kita kat sekolah.
.
Ccris ni pun sama 
.
Bila tengok report ccris, orang akan tahu 'profil kewangan' kita macam mana. 'Perangai' kita dengan bank macam mana.
.
Bank-bank mesti akan tengok report ni dulu sebelum beri kelulusan sebarang pembiayaan kepada kita. 
.
Kalau bank tengok report ccris kita teruk, susah sikit bank nak bagi loan. Walaupun gaji tinggi. Sebab dia takut kita tak bayar balik. Kalau dia bagi pun, mungkin interest rate tinggi. Atau kalau anda minta 100k, bank bagi 10k saja.
.
Dulu, nak dapatkan report ccris ni nak kena pergi Bank Negara. Kat dalam tu ada kiosk-kiosk. Sekarang tak perlu lagi.
.
Nak daftar untuk pertama kali pun senang je. Tak sampai 10 minit pun. Sambil-sambil sahur pun boleh buat.
.
1) Mula-mula pergi ke website eccris.bnm.gov.my

2) Boleh pilih Bahasa Melayu/English kat atas belah kanan. Ambil pilihan untuk 'Daftar sekarang' atau 'Register Now'.

3) Pastu kita kena isi details sikit. Nama, email, mykad, tarikh lahir dengan no telefon. 

4) lepas isi akan ada bahagian yg nak tentukan anda adalah orang dan bukannya "bot"

5) lepas tu sampai bahagian kena bayar RM1

6) Dah settle bayar RM 1, kita dah boleh 'Proceed to First Time Login'.

7) Isi kan nombor OTP yang dihantar ke telefon kita.

8) Pastu register details login kita. 

9) Selesai tu, kita dah boleh login untuk pertama kalinya. 

10)  Kat dashboard tu, kita dah boleh tengok report ccris kita yang terbaru. Klik kat bahagian 'Enquiry' dan ambil 'Self-enquiry'. Kalau yang ambil Bahasa Melayu, klik kat bahagian 'Carian'.

11) Klik agree/setuju, dan terus klik butang bawah tu.

12) Tak sampai 5 minit akan keluar report ccris depan mata kita. Nak tengok saja boleh, nak download pun boleh.
.
Moga perkongsian ini memberi manfaat 

Bolehkah waris kemalangan menuntut ganti rugi?


Baru-baru ini Malaysia telah dikejutkan dengan kemalangan lima pelajar rentung setelah dilanggar lori dari belakang di Lebuhraya Utara Selatan.  Kali ini saya nak kongsikan apa yang telah dibincangkan di Astro Awani tentang Adakah waris berhak untuk menuntut gantirugi terhadap pihak yang bersalah.  Astro Awani telah memanggil peguam Yus Farizal Yusoff untuk memberi penerangan tentang perihal ini dari sudut undang-undang.

Menurut peguam tersebut, waris berhak untuk memfailkan tuntutan di mahkamah Sivil. Untuk kes ini siasatan akan dilakukan kepada pemandu treler yang melanggar dari belakang sama ada terdapat pemanduan secara cuai atau pun beberapa faktor lain iaitu keadaan pemanduan, keadaan jalan ,kelajuan, kondisi brek dan sebagainya.  Semua bukti akan dilihat  untuk menentusahkan sama ada pemandu treler yang melanggar dari belakang itu telah melakukan satu kecuaian dengan memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.

Selain itu pihak ketiga juga perlu dilihat contohnya dalam kes ini pihak Plus yang menutup lorong kiri. Ada tiga elemen utama yang perlu dilihat. Pertama ada atau tidak tanggungjawab di pihak tersebut untuk berjaga-jaga dan berhati-hati dengan membuat perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan untuk mengelakkan kemalangan.

Keduanya apakah tanggungjawab tersebut telah dilanggar oleh pihak tersebut maka mereka untuk gagal untuk memberi amaran dengan baik dan ketiganya berlaku atau tidak akan kecederaan ataupun kemalangan. Dalam kes ini sangat jelas berlaku kemalangan. Jika ada tiga tiga elemen ini ada kemungkinan pihak ketiga selain daripada pemandu lori treler yang membawa kenderaan tersebut itu juga boleh dikenakan kesalahan di atas kecuaian . Siasatan lengkap perlu untuk menentusahkan siapa yang bersalah mengikut fakta yang ada.

 Waris berhak menuntut ganti rugi kerugian pendapatan jika simati adalah seorang yang bekerja dan menanggung waris. Dalam kes 5 pelajar ini, mungkin kita beranggapan bahawa mereka tidak bekerja tetapi jika mereka bekerja sampingan dan memberi RM100 sebulan contohnya, jumlah itu masih boleh diambil kira dalam tuntutan. Jika mereka semua tidak bekerja, waris masih boleh menuntut ganti rugi kesedihan ataupun perkabungan. 
 
Akta undang-undang Sivil  memperuntukkan bahawa tuntutan sebegini dibenarkan sebanyak RM30,000 dituntut oleh ibu dan bapa. 

Begitulah yang diterangkan oleh peguam Yus Farizul. Moga perkongsian ini memberi manfaat. 

Hartanah: Nak beli tanah buat rumah atau terus beli rumah dah siap?


 Nak beli tanah ke nak beli rumah? selalunya persoalan ni akan muncul pada pembeli rumah pertama terutamanya kepada golongan yang muda. 
Disini Saya ingin kongsikan pendapat saya tentang permasalahan ini.

 Pertamanya bila nak beli tanah mestilah kita nak bina rumah di atas tu kan? Nak bina rumah di atas tanah tersebut bukannya mudah sebenarnya. Banyak benda yang kita kena faham terlebih dahulu. Banyak kemungkinan projek rumah boleh gagal. Sedangkan pemaju yang berpengalaman pun boleh gagal. Jika gagal,  ianya amat besar untuk ditanggung dan kesannya boleh mengambil jangkamasa yang panjang. 

Tak semua tanah boleh dibeli dengan menggunakan pinjaman perumahan. Memang betul kita nak bina rumah di atas tanah tapi tak semua tanah bank boleh bagi pinjaman. Contohnya tanah yang mempunyai ramai nama di dalam 1 geran ataupun tanah lot lidi. Untuk pengetahuan anda Bank hanya memberi pinjaman kepada tanah yang bergeran individu sahaja. Geran individu bermaksud di geran itu hanya mempunyai satu nama sahaja.

 Anda kena ingat jika anda membeli Hartanah dengan menggunakan menggunakan pinjaman perumahan, rumah tersebut bukanlah milik anda sepenuhnya sebaliknya ia masih lagi dimiliki oleh pihak yang memberi pinjaman iaitu bank. Tak kiralah jika anda ingin membeli 1 lot tanah yang dimiliki oleh keluarga anda sendiri tapi bank macam mana pun mereka akan elakkan segala masalah dan tak akan memberikan pinjaman kepada anda.

 Tapi ini bukanlah satu halangan yang muktamad untuk anda membeli tanah. Anda masih lagi boleh membeli tanah tersebut dengan menggunakan pinjaman peribadi. Memang bank lebih suka sebab interest lebih tinggi.

Untuk pembelian tunai, apa yang saya nak ceritakan disini tidak terpakai sepenuhnya kerana bila anda mempunyai tunai yang banyak sudah tentu anda bukan calang-calang orangnya. Terpulang kepada anda untuk menentukannya.

  Katakanlah harga tanah tersebut adalah RM50 ribu dan harga rumah yang anda ingin bina pula berharga RM150 ribu. Ini bermakna anda perlu membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200 ribu untuk membuat rumah di atas tanah geran kongsi ataupun lot lidi tadi. Kena ingat bahawa kadang-kadang kos bahan binaan boleh menjadi terlalu tinggi semasa projek berlangsung dan akhirnya kontraktor akan minta ada duit tambahan dari anda untuk meneruskan projek. 

 Bila ini berlaku sudah tentu akan ada perasaan tidak puas hati dan anda mungkin akan berbalah dengan pihak kontraktor. Jika ianya berlarutan ataupun perbalahan menjadi lebih besar, kemungkinan kontraktor tersebut pun meninggalkan projek tak kiralah berapa anda sanggup bayar sekalipun. Anda mungkin akan mencari kontraktor lain tetapi harga kontraktor untuk menyambung projek terbengkalai selalunya lebih tinggi.

 Bank pun mungkin tak benarkan anda menambah jumlah pinjaman peribadi lagi atas beberapa faktor dan akhirnya anda terpaksa berhadapan dengan rumah yang tak siap. Lebih sakit bila pada masa sama anda masih lagi perlu membayar bulanan kepada pihak bank terhadap pinjaman peribadi tadi.
Mula lah anda rasa menyesal dan terfikir kenapalah tak beli rumah dari developer ataupun rumah subsale(2nd hand). Setiap orang ada had kelayakan pinjaman yang dibenarkan. Bila pinjaman peribadi tadi dah memenuhi kuota hutang anda, ini bermakna anda perlu selesaikan hutang yang terdahulu. Ini mungkin ambil masa yang lama bergantung pada tempoh pinjaman yang anda buat.

Selepas tamat tempoh, mesti anda gembira sebab anda dah boleh beli rumah tapi malangnya

1. Harga rumah kini dah menjadi lebih mahal
2. Umur anda kini dah lanjut dan bank cuma bagi loan tempoh pendek kepada anda. Jika orang muda bayar RM1000 sebulan, anda mungkin perlu bayar RM3000 sebulan untuk rumah yang sama.

Sebenarnya banyak lagi masalah yang perlu ditempuh jika anda nak buat rumah atas tanah walaupun semua perbelanjaan menggunakan wang tunai simpanan anda sendiri. Tapi cukuplah saya ceritakan satu scenario sahaja.

Maka ingatlah....jangan tersilap langkah dalam pembelian rumah pertama. Buat rumah atas atas tanah adalah permainan orang yg banyak pengalaman dan banyak duit.

Harap perkongsian ini memberi manfaat kepada anda. Sekian.

Cara scan dokumen dan IC depan belakang free dengan menggunakan handphone

Telefon pintar berguna untuk banyak perkara pada zaman sekarang. Salah satu penggunaan ialah mendigitalkan dokumen. Ia sangat membantu untuk mengimbas kerja sekolah anak,  scan kad pengenalan (IC) , dan sebagainya ke dalam format PDF. Kebanyakan pengimbas di Google Play sepatutnya berfungsi untuk kebanyakan penggunaan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengimbas dokumen betul betul menyerlah berbanding dengan app lain. Berikut ialah aplikasi pengimbas dokumen yang saya fikirkan terbaik untuk Android setelah mencuba selama bertahun.

Scanner
Aplikasi ini amat bagus untuk scan kad pengenalan.  Ada beberapa lagi yang boleh digunakan untuk scan kita punya kad pengenalan tetapi berbayar. Setakat ini, ini sajalah aplikasi yang saya rasakan ianya mudah untuk digunakan dan yang penting percuma.  Anda boleh mendapatkan aplikasi ini di Google Store dengan klik link yang saya berikan ini.


Penggunaan aplikasi ini mudah sahaja dan anda boleh lihat video seperti yang saya sediakan link di bawah


CamScanner
Cam scanner adalah satu aplikasi yang kerap saya gunakan dalam urusan seharian. ianya percuma dan mudah digunakan. Yang paling best aplikasi ini boleh scan banyak muka surat dan jadikannya ke dalam satu fail.

Anda boleh mendapatkan aplikasi ini di Google Store dengan klik link yang saya berikan ini.


Anda boleh dapatkan versi video berkenaan artikel ini dengan click disini


Semoga bermanfaat dan selamat mencuba 

Resipi: Memanaskan dan juicy kan kembali makanan yg disimpan dalam peti sejuk

 Untuk sesiapa yang mempunyai peti sejuk di rumah, satu masalah yang selalu pengguna hadapi adalah  makanan menjadi terlalu kering selepas  selepas berada di dalam peti ais semalaman.  Apabila kita panaskan makanan yang dikeluarkan dari peti ais, makanan tersebut tetap juga terlalu kering.  Bila makanan menjadi terlalu kering, makanan itu menjadi tidak sedap. Daging ayam KFC yang lembut pun boleh terasa macam hampas bila kering.
 Memanaskan makanan dengan menggunakan microwave memang lebih cepat dan biasanya memerlukan masa lebih kurang dua minit sahaja. Tetapi jika hasilnya tak sedap pun tiada gunanya.

 Namun setelah saya menggunakan periuk tekanan tinggi noxxA, makanan yang dikeluarkan dari peti ais bukan lagi masalah. Dengan menggunakan cara yang saya akan kongsikan ini, makanan yang dikeluarkan dari peti ais itu akan berjus kembali setelah dipanaskan.

Biasanya saya menggunakan periuk tekanan tinggi Noxxa untuk memanaskan nasi, lauk ayam, lauk ikan lauk daging, sate dsb.
Cara cara

1. Mula-mula masukkan 100ml air ke dalam periuk Noxxa.
2. tekan mode stir-fry 1 kali. 
3. perhatikan sehingga air mendidih di dalam periuk Noxxa. Biasanya tak sampai dua minit.
4. Setelah mendidih masukkan makanan yang kita hendak panaskan itu. 
5. Setelah kita masukkan bahan makanan, kita kita boleh terus menutup periuk Noxxa dan padamkan elektrik. Kalau masak nasi sebaiknya kita kacau dulu nasi bagi sebati dengan air yang tengah panas dalam periuk tu.
6. Setelah beberapa minit( biasanya saya ambil 10 minit) kita boleh buka periuk, ambil makanan dan hidangkan. 

Saya suka merancang lebih awal jadi 10 minit menunggu itu bukan masalah bagi saya. Kadang-kadang saya terlupa yang saya biarkan makanan di dalam periuk tekanan tinggi Noxxa sehingga 1 jam!

Secara teorinya kita perlukan wap untuk meresap ke dalam makanan supaya makanan kembali berjus.  Dengan menggunakan kaedah ini, nasi yang telah disimpan di dalam peti ais selama beberapa hari pun masih lagi terasa segar semasa kita makan

Semoga tips ini memberi manfaat dan selamat mencuba.


Resipi: cara masak nasi guna periuk tekanan tinggi noxxa

 Baru-baru ni saya balik ke kampung dan di kampung saya ada satu periuk tekanan tinggi Noxxa tapi jarang digunakan oleh mak saya. Sebaliknya periuk Noxxa di rumah kami yang dihadiahkan oleh mak saya kerap digunakan dalam masakan seharian. Saya dapati mak saya masih lagi menggunakan periuk nasi untuk memasak nasi. Bila saya tanya kenapa tak nak pakai periuk Noxxa untuk masak nasi, mak saya menjawab yang dia tak tahu cara nak menggunakannya untuk memasak nasi.

 Mungkin ada ramai di sana yang masih lagi tak tahu menggunakan periuk Noxxa untuk memasak nasiacam.mak saya. Maka kali ini saya nak kongsikan cara-cara memasak nasi dengan menggunakan periuk Noxxa

 Tak ramai tahu kelebihan memasak nasi dengan menggunakan periuk tekanan tinggi bukan sahaja kerana ianya lebih cepat masak, tapi jumlah nutrien yang kekal selepas proses memasak juga lebih tinggi berbanding proses memasak nasi cara biasa iaitu cara rebusan.  Apabila kadar nutrien nya tinggi, bermakna rasa masakan dengan menggunakan periuk tekanan tinggi lebih sedap berbanding biasa.

 Keluarga saya hanya menggunakan dua pot nasi untuk satu hari. Satu pot nasi bersamaan dengan 150 gram. Masak nasi dengan menggunakan periuk Noxxa ni perlu ada alat sukatan yang betul. Kalau tidak hasilnya akan menjadi terlalu keras, lembut atau hangus. Ya masak nasi dengan menggunakan periuk Noxxa pada awalnya amat susah. Saya sendiri pun banyak kali cuba dan tidak berjaya. Akhirnya saya dapat satu formula yang confirm nasi menjadi ok. 

 Formula paras air mesti 1 garis jari telunjuk yang selalu digunakan untuk memasak nasi menggunakan periuk nasi tidak boleh digunakan jika kita memasak menggunakan periuk tekanan tinggi.

 Alatan untuk sukat mesti betul supaya anda memasak dengan lebih yakin.  Selain itu alat sukat ini juga digunakan untuk memastikan tiada pembaziran. Alat ni boleh dibeli dari kedai DIY, Happy Home dan seumpamanya.
1. Basuh 300gram beras dan buang air beras. Guna untuk siram pokok pun ok.
2. Masukkan air sama sukatan dengan beras tadi.
3. Tutup periuk noxxa dan tekan high pressure 6 kali.
4. Pastikan tombol/injap diatas periuk menunjukkan pressure.
5. Siap.


 Di belakang rumah saya terdapat pokok limau purut yang banyak daunnya. Selalunya bila saya masak nasi saya akan letakkan daun limau purut sekali. Rasanya lebih enak dan baunya pun lebih menarik.

 Terima kasih kerana membaca dan selamat mencuba

Hartanah: Masalah jika beli rumah subsale kos rendah yang pemilikan dibawah 10 tahun.


 Semalam ada kawan bertanyakan tentang pembelian rumah yang di gerannya tertulis

 " tanah yang diberi milik ini tidak boleh dipindah milik, dicagar, pajak, pajakan kecil dan apa-apa urus niaga tanpa  kebenaran bertulis dari kerajaan negeri" 

Ada juga di gerannya tertulis seperti dibawah. Walaubagaimanapun maksudnya semua hampir sama. Perlu dapatkan kelulusan kerajaan negeri.


Kawan saya ni nak beli secara terus dari pemilik rumah dan bukannya melalui saya ataupun melalui agen lain. Setelah diselidiki rupanya rumah itu adalah rumah kos rendah. 

 Secara amnya rumah kos rendah di Pulau Pinang yang perlu kelulusan kerajaan negeri tidak boleh dijual jika pemilikan tidak lebih dari 10 tahun. Cuma agak lucu juga bila pemilik meyakinkan pembeli bahawa peguam akan lawan untuk kes ini.

 Saya pernah jual satu rumah yang sampai sekarang pun masih tak dapat lagi diselesaikan. Dari awal pembabitan saya dalam bidang Hartanah memang saya akan menjauhi rumah-rumah yang bermasalah. Banyak cerita yang saya dengar dari rakan-rakan dalam bidang hartanah ni tentang rumah-rumah yang bermasalah termasuklah rumah kos rendah yang perlukan kelulusan kerajaan negeri. 

 Tiba-tiba satu hari rakan saya menghubungi saya dan bertanyakan sama ada saya boleh membantu rakannya untuk jualkan rumah di Pulau Pinang. Bila ditanya begitu sudah tentu jawapan saya adalah boleh. Maka kawan saya itu pun berikan nombor pemilik rumah tersebut. Selepas saya menghubungi pemilik dan selidiki tentang rumah tersebut, barulah saya tahu bahawa rumah itu adalah rumah kos rendah yang perlukan kelulusan kerajaan negeri.

Rumah tersebut terletak di Bayan Lepas dan pemilik telah membeli rumah itu dengan harga RM45 ribu sahaja 6 tahun sebelumnya. Bermakna pemilikan rumah itu masih lagi di bawah 10 tahun. Pemilik ingin menjual rumah tersebut adalah kerana beliau sekarang tinggal di Perlis dan bekerja di Universiti Utara Malaysia.

 Mula-mula saya memang ingin menolaknya sebab tak mahu hadapi masalah. Namun Apabila saya fikirkan kembali rasanya saya patut ambil kes ini sekadar untuk menambah pengalaman. Kata orang tak cuba tak tahu. Lagipun apalah gunanya jika kita berpengalaman dalam bidang Hartanah berpuluh tahun pun tapi bila orang atau anak buah tanya kita pasal penjualan rumah kos rendah yang perlukan kelulusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita pun tak tahu nak terangkan secara jelas.

 Walaupun alasannya kelihatan seperti kukuh tetapi tiada jaminan bahawa kerajaan negeri akan meluluskan penjualan rumah tersebut. Rumah asalnya dibeli dengan harga RM45 ribu tetapi kini ingin dijual adalah berharga RM200 ribu. Bermakna dalam enam tahun pemilik untung sebanyak rm155 ribu. Atau dalam kata lainnya pemilik untung melebihi 400 peratus dari nilai yang dilaburkan.

 Saya nak tanya anda kembali jika anda adalah seorang yang bertanggungjawab untuk memberi kelulusan penjualan rumah ini, adakah anda akan memberi kelulusan? jika ya, apa jawapan yang anda akan berikan kepada ramai lagi penduduk Pulau Pinang yang masih lagi tidak berpeluang memiliki rumah?

 Maka disini mungkin anda faham bahawa kelulusan tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Setelah permohonan anda digagalkan, mungkin anda boleh membuat rayuan. Di peringkat rayuan nanti mungkin akan ada dokumen-dokumen tambahan yang diperlukan dari pihak penjual untuk menyokong kelulusan penjualan rumah tersebut. Tapi untuk kes saya dimana pemilik telah berhijrah ke negeri lain, rayuannya telah ditolak sebanyak tiga kali dan kes ini masih lagi belum selesai walaupun sudah 3 tahun.

 Nampaknya tak kiralah berapa banyak dokumen sokongan yang anda ada untuk membuktikan anda telah berhijrah ke negeri lain, Kerajaan Negeri masih lagi tidak meluluskan penjualan rumah tersebut. Setakat ini apa yang saya dengar dari rakan dalam bidang Hartanah ini kerajaan negeri hanya meluluskan untuk alasan kesihatan ataupun kematian sahaja. Contohnya pemilik rumah adalah warga emas yang sudah tidak boleh berjalan dan tinggal di tingkat atas. Kebetulan lif juga selalu rosak.  Kalau anda  tanggungjawab dalam memberi kelulusan mungkin anda memberi kelulusan kan?

 Jika anda ingin membeli rumah kos rendah yang perlukan kelulusan kerajaan negeri tetapi pemilikan rumah tersebut telah melebihi 10 tahun, anda tetap perlu melalui proses kelulusan kerajaan negeri tetapi setakat ni tak pernah lagi dengar kerajaan negeri batalkan permohonan pertukaran hak milik untuk rumah yang telah lebih dari 10 tahun.

 Maka dengan sedikit penerangan ini saya harap agar anda dapat memahami tentang masalah yang anda akan hadapi jika anda ingin membeli rumah kos rendah dibawah 10 tahun yang perlu kelulusan kerajaan negeri. Jangan terlalu yakin jika pemilik atau penjual mengatakan bahawa peguam akan fight untuk dapatkan kelulusan. Ya peguam akan fight tetapi seperti kes sivil, jenayah dsb bukan semua kes peguam boleh menang. Kalau semua kes boleh menang, tak adalah orang duduk penjara kan?

 Saya cuma bernasib baik kerana pembeli yang membeli rumah tersebut bukanlah beli untuk duduk tetapi beli hanya untuk buat pelaburan. Beliau pun memang sudah dimaklumkan dari awal lagi tentang masalah yang bakal dihadapi sebelum beliau membuat bayaran booking. Kalau tujuan beli adalah untuk duduk dalam masa yang terdekat, mungkin saya akan hadapi masalah besar. Ya tiga tahun adalah satu tempoh yang panjang. Kalau beli rumah projek baru yang baru nak rata tanah pun, dah tentu projek rumah tu dah siap. 

 Maka kalau ada nak beli rumah subsale atau rumah secondhand adalah lebih baik jika anda beli melalui ejen hartanah kerana ejen Hartanah terlebih dahulu selidik latar belakang rumah yang hendak dijual. Kalau ada masalah, kami akan cuba menasihati pemilik rumah untuk selesaikan apa yang belum selesai terlebih dahulu. Kalau nampak payah sangat, kami tak jual rumah tu dan baik kami tumpu kepada rumah yang lebih senang untuk dijual. 

Jual beli rumah bukanlah semudah beli ikan dipasar. Anda perlu pengalaman untuk lakukannya.

Nazree
0164449278

Resipi: Masak soya guna noxxa


 Lepas Hari Raya mesti ramai terfikir tentang untuk menguruskan badan.  Yang gemuk pasti nak kurus dan yang kurus ada yang tak selesa bila badan nampak berisi sikit. Antara diet yg agak agresif untuk menurunkan berat badan adalah yang dengan mengamalkan diet kacang soya.

 tak ramai yang tahu bahawa kacang soya mempunyai banyak khasiat dan dikatakan lengkap dengan nutrisi yang diperlukan seharian. kalau kita lihat di label produk produk kurus yang terkenal dan mahal selalunya produk itu berasaskan soya. daripada menghabiskan beratus ringgit hanya untuk beberapa minggu, baik kita beli kacang soya terus dari kedai dan masak di rumah. 

 kali ini saya nak kongsikan cara-cara memasak atau merebus soya dengan menggunakan periuk Noxxa. 

Mula-mula ambil segenggam kacang soya dan rendamkan ia semalaman. Biasanya segenggam kacang soya cukup untuk bekalan soya satu hari.

  Kacang soya mengandungi kepekatan Phytic Acid(phytate) yang tinggi. Phytic Acid adalah salah satu jenis antinutrien yang paling biasa—terdapat dalam biji benih, kacang, kekacang dan bijirin. Oleh kerana banyak antinutrien larut air, ia hanya larut apabila makanan direndam. Dalam kekacang, proses rendaman didapati mengurangkan phytate, protease inhibitors, lectins, tannins dan calcium oxalate.

 Air letak banyak mana pun tak apa. selepas lapan jam anda akan dapati bahawa kacang soya tadi telah menjadi besar.
Buang air rendaman tadi kerana ia mengandungi bahan anti nutrien yang kita sebutkan tadi. Masukkan air baru cuma kali ni tak perlu banyak. Cukup jika paras air sama tinggi dengan ketinggian soya. Masukkan satu sudu kecil garam sekali.

Kemudian tekan butang high pressure 6 kali dan tutup tombol high pressure.
 Kini soya anda sudah siap untuk dimakan. Anggaplah macam kacang rebus yang anda beli kat tepi jalan cuma yang ni dah siap kopek kulit dan berwarna putih.

Kedai Eco naik harga? Jom tengok Jepun.


Ramai yang kecewa bila baru baru ni kedai Eco Shop mengumumkan yang mereka akan menaikkan harga dari RM2.20 ke RM2.40 bermula dari 1 Jun 2022.

Alasan untuk mereka naikkan harga adalah berpunca dari kenaikan kos. Adakah ini semua berpunca dari kenaikan gaji minimum? Kalau  macam ni, gaji banyak mana pun tak ada makna kalau harga pun ikut naik sekali. 

Nampaknya mentaliti business di Malaysia tak sama dengan Jepun dimana kedai kedai  masih lagi mengekalkan harga mereka walaupun setelah berpuluh tahun. Antara kedai yang ingin saya kongsikan ialah kedai Lawson 100 Yen. 
Saya pernah belajar di Jepun di era 90an dan selepas tamat belajar, saya kerap juga ke Jepun atas urusan kerja. Ada ketikanya 3 bulan sekali saya mesti akan ke Jepun. Pernah juga bawa rombongan keluarga ke Jepun. Bukan itu yang saya nak ceritakan tapi setiap kali saya ke Jepun, kedai 100 Yen lah tempat saya beli keperluan harian. Saya kagum dengan beberapa kedai eco di Jepun yang masih mengekalkan harga dari zaman saya belajar hinggalah saya dah beranak pinak. Kalau kita lihat pengumuman yang dibuat oleh kedai Eco di Malaysia baru baru ni, agaknya berapa harga barangan kedai Eco pada 10 tahun akan datang? Adakah harganya nanti layak untuk dipanggil kedai Eco lagi?
Di Jepun kedai eco atau 100 yen sangat mudah didapati, terutamanya di Tokyo, ibu negara Jepun. Terdapat beribu-ribu kedai 100 yen di Jepun, pelbagai saiz kedai mengikut lokasi dan bukan Lawson 100 saja kedai yang berkonsepkan kedai 100 Yen ni. 100 Yen ni kalau ditukarkan ke duit RM, nilainya adalah RM3.35(nilai sentiasa berubah) tapi bagi orang Jepun yg terima gaji dalam Yen Jepun, nilai 100 Yen sama macam nilai RM1 je.
Di Malaysia tak banyak barang yang boleh dibeli dengan harga RM1 tapi berbeza dengan Jepun dimana terdapat banyak barang boleh dibeli dengan 100 Yen. Boleh tengok contoh dibawah.

Di Jepun ada Value Added Tax( VAT). Zaman saya belajar dulu kadarnya adalah 5% kemudian dinaikkan beberapa kali hinggalah yang terbaru 10%. Ya cukainya tinggi tapi bila kita bandingkan semula dengan kenaikan harga barangan di Malaysia, kadar kenaikan nya masih rendah. Barangan 100 Yen kini menjadi 110 Yen selepas cukai. Sedangkan di Malaysia roti canai tahun lepas RM1 tu pun dah naik ke RM1.20 tahun ni. Tu belum lagi dibandingkan harga roti canai masa saya belajar dulu iaitu 30 sen saja pada 90 an.

Best kan kalau barang barang ni semua boleh dibeli RM1 je? Saya bukan pakar bab berniaga tapi respect macam mana Jepun boleh kekalkan harga setelah berpuluh tahun. Sudah tentu mereka juga ada cabaran mereka sendiri. Kemelesetan ekonomi dunia berlaku hampir setiap 10 tahun dan Jepun juga tidak terkecuali. Tapi bagi mereka menaikkan harga barangan bukanlah jalan penyelesaian yang mudah. 

Di Jepun memang ada orang yang hidup dengan kedai 100 Yen je. Ya sebab apa yg dijual di kedai 100 Yen semuanya cukup untuk kelangsungan hidup. Ada juga barangan yang dijual melebihi 100 Yen tapi tak banyak. Mungkin jumlahnya kurang dari 10%. Namun harganya masih relevan. Contohnya susu 1 liter berharga 150yen. Memang tinggi dari 100 Yen tapi kalau convert kepada RM pun harga susu nya masih rendah dari Malaysia. Kalau ada bento(bekal) yg didalamnya ada nasi, ikan goreng, telur dan sayur takkan harganya 100 Yen kan?

Diharap Malaysia mampu mencontohi negara maju yang lain serta mewujudkan persekitaran dimana semua orang boleh hidup. Satu lagi masalah kat Malaysia ni kalau harga dah naik, payah dah nak turun.

Anda OK ke dengan kenaikan harga ni?

3 penyelesaian yang mungkin penghidap masalah susah nak tidur belum tahu

Ketidakupayaan untuk tidur atau tidur dengan lena pada waktu malam, boleh disebabkan oleh tekanan, jet lag, keadaan kesihatan, ubat-ubatan yang anda ambil, atau juga jumlah kopi yang anda minum. 

Jika anda tidak tidur, rasa mengantuk anda akan terus menjadi lebih teruk sehingga anda akhirnya boleh berehat. Tidur selama 1 hingga 2 jam boleh mengurangkan tekanan tidur dan membuatkan anda berasa kurang letih pada waktu pagi berbanding dengan berjaga sepanjang malam.

Antara yang selalu disarankan

Mari kita tengok apa tips yang selalu kita jumpa bila kita Google cara mudah untuk tidur.

Membaca, mendengar muzik atau berehat sebelum tidur dengan mandi air panas atau latihan bernafas boleh membantu anda tidur lena. Jika anda tidak tertidur dalam masa 20 minit selepas masuk tidur, bangun dari katil dan lakukan sesuatu yang santai sehingga anda berasa mengantuk

Elakkan bahan kimia yang mengganggu tidur, seperti nikotin, kafein, dan alkohol.

 Makan makanan ringan pada waktu malam dan sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.

 Kekal aktif, tetapi bersenam lebih awal pada hari itu.

Elakkan melihat skrin satu hingga dua jam sebelum tidur.

Selain itu ada juga saranan untuk ambil vitamin

Magnesium
Magnesium mungkin merupakan vitamin atau mineral yang paling penting semasa tidur. Ia memainkan peranan penting dalam fungsi badan yang mengawal tidur dan kajian telah menunjukkan bahawa tidur menderita tanpa pengambilan vitamin yang optimum.

Kalsium
Kalsium telah terbukti memainkan peranan penting dalam kitaran tidur kita, terutamanya peringkat REM tidur. Oleh kerana kalsium membantu badan menggunakan asid amino triptofan (penyebab mengantuk), ia mempunyai kesan sedatif yang membantu meredakan badan untuk tidur. Sebab tu bayi boleh tidur lena.

Dapatkan Kalsium dalam: Susu, yogurt dan produk tenusu lain; sayur-sayuran berdaun, salmon, sardin

Potassium/Kalium
Jika anda telah tertidur dengan baik tetapi terjaga pada pukul 3 pagi dan tidak dapat tidur semula, kekurangan kalium mungkin menjadi faktor nya. Menurut kajian 1991 dalam Journal of Sleep, kalium mempunyai kesan langsung pada fasa tidur dan kekurangan mineral ini boleh menyebabkan anda terjaga di tengah-tengah tidur. Selain itu, kalium berfungsi secara sinergistik dengan magnesium, jadi mengambil kedua-dua ini  akan mempunyai kesan yang ketara pada rehat anda.

Vitamin B
Dalam kajian dari University of Alabama, penyelidik mendapati bahawa B-12 menyokong pengeluaran neurotransmitter yang terlibat dalam fungsi otak dan tidur. Selain itu, kekurangan vitamin B6 dikaitkan dengan tekanan psikologi, yang seterusnya membawa banyak gangguan tidur. 

 Dapatkan B-12 dalam: Ikan, ayam, telur, tenusu

Dapatkan B-6 dalam: Kacang, ayam, ikan, betik, sayur-sayuran berdaun gelap

 
Yang jarang disarankan

Jom kita tengok apa kaedah yang jarang disebut dalam menangani masalah susah nak tidur ni.

Topeng Mata
Topeng mata boleh menghalang cahaya yang boleh menghalang anda daripada tertidur. Ianya juga boleh memberikan kesan menenangkan yang mungkin menggalakkan anda untuk mengantuk lebih cepat.

Ianya boleh didapati di kedai Mr.DIY dengan harga RM3+. Pilih yang ada gel didalam topeng mata. Anda boleh mengeluarkan sisipan gel topeng ini untuk memakainya secara berasingan, atau menggunakannya bersama topeng tidur apabila tiba masanya untuk tidur. Ia dipercayai mampu memberi kesan seperti urutan untuk melancarkan peredaran darah dan melegakan keletihan otot mata

Topeng anda hendaklah cukup ketat supaya ia tidak tergelincir dengan bebas pada muka anda, tetapi tidak terlalu ketat sehingga topeng ditekan terus pada mata anda. 

Walau bagaimanapun, jika topeng mata anda terlalu ketat, ia boleh menyebabkan penglihatan kabur!

Penyumbat telinga
Tidur dengan penyumbat telinga boleh meningkatkan kualiti tidur anda dengan ketara. Bagi kebanyakan orang, penyumbat telinga adalah satu-satunya cara untuk menghalang bunyi semasa mereka tidur, seperti bunyi bising dari lebuh raya berdekatan atau pasangan yang berdengkur. 

Ianya murah dan senang untuk dicari di Lazada ataupun Shopee.

Jika penyumbat telinga digunakan setiap malam, lama kelamaan ia boleh menolak kotoran telinga anda jauh ke dalam telinga anda, dan menyebabkan kehilangan pendengaran sementara. Bukan sahaja tahi telinga yang terkumpul boleh menjadi masalah, tetapi jangkitan telinga juga boleh berlaku dengan penyumbat telinga. Maka kena rajin korek telinga.


Zinc
Zink adalah nutrien penting yang diperlukan untuk fungsi yang sihat, tetapi sering diabaikan oleh ramai orang . Insomnia, keletihan, jangkitan yang kerap dan kebimbangan(anxiety) semuanya boleh menjadi gejala kekurangan zink.  

Penggunaan zink mengurangkan bangun pada waktu malam. Ia adalah bantuan tidur yang sangat baik & selamat; dan juga mempunyai kesan menenangkan seperti antidepresan. 

Kerana kesan menenangkan, Zinc mungkin lebih baik diambil pada waktu petang. Zink sebaiknya diambil 1 jam sebelum atau 2 jam selepas makan. Supplemen Zinc yg terbaik adalah datang dari jenis Zinc picolinate. 

Nah sekarang anda dah tahu 3 cara yg mungkin ramai penghidap susah tidur malam belum cuba.

Anda rasa info ni bermanfaat? Kongsikan dengan kawan yang mungkin mengalami masalah susah nak tidur ni.(insomnia)