Hartanah: Masalah jika beli rumah subsale kos rendah yang pemilikan dibawah 10 tahun.
Semalam ada kawan bertanyakan tentang pembelian rumah yang di gerannya tertulis
" tanah yang diberi milik ini tidak boleh dipindah milik, dicagar, pajak, pajakan kecil dan apa-apa urus niaga tanpa kebenaran bertulis dari kerajaan negeri"
Ada juga di gerannya tertulis seperti dibawah. Walaubagaimanapun maksudnya semua hampir sama. Perlu dapatkan kelulusan kerajaan negeri.
Kawan saya ni nak beli secara terus dari pemilik rumah dan bukannya melalui saya ataupun melalui agen lain. Setelah diselidiki rupanya rumah itu adalah rumah kos rendah.
Secara amnya rumah kos rendah di Pulau Pinang yang perlu kelulusan kerajaan negeri tidak boleh dijual jika pemilikan tidak lebih dari 10 tahun. Cuma agak lucu juga bila pemilik meyakinkan pembeli bahawa peguam akan lawan untuk kes ini.
Saya pernah jual satu rumah yang sampai sekarang pun masih tak dapat lagi diselesaikan. Dari awal pembabitan saya dalam bidang Hartanah memang saya akan menjauhi rumah-rumah yang bermasalah. Banyak cerita yang saya dengar dari rakan-rakan dalam bidang hartanah ni tentang rumah-rumah yang bermasalah termasuklah rumah kos rendah yang perlukan kelulusan kerajaan negeri.
Tiba-tiba satu hari rakan saya menghubungi saya dan bertanyakan sama ada saya boleh membantu rakannya untuk jualkan rumah di Pulau Pinang. Bila ditanya begitu sudah tentu jawapan saya adalah boleh. Maka kawan saya itu pun berikan nombor pemilik rumah tersebut. Selepas saya menghubungi pemilik dan selidiki tentang rumah tersebut, barulah saya tahu bahawa rumah itu adalah rumah kos rendah yang perlukan kelulusan kerajaan negeri.
Rumah tersebut terletak di Bayan Lepas dan pemilik telah membeli rumah itu dengan harga RM45 ribu sahaja 6 tahun sebelumnya. Bermakna pemilikan rumah itu masih lagi di bawah 10 tahun. Pemilik ingin menjual rumah tersebut adalah kerana beliau sekarang tinggal di Perlis dan bekerja di Universiti Utara Malaysia.
Mula-mula saya memang ingin menolaknya sebab tak mahu hadapi masalah. Namun Apabila saya fikirkan kembali rasanya saya patut ambil kes ini sekadar untuk menambah pengalaman. Kata orang tak cuba tak tahu. Lagipun apalah gunanya jika kita berpengalaman dalam bidang Hartanah berpuluh tahun pun tapi bila orang atau anak buah tanya kita pasal penjualan rumah kos rendah yang perlukan kelulusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita pun tak tahu nak terangkan secara jelas.
Walaupun alasannya kelihatan seperti kukuh tetapi tiada jaminan bahawa kerajaan negeri akan meluluskan penjualan rumah tersebut. Rumah asalnya dibeli dengan harga RM45 ribu tetapi kini ingin dijual adalah berharga RM200 ribu. Bermakna dalam enam tahun pemilik untung sebanyak rm155 ribu. Atau dalam kata lainnya pemilik untung melebihi 400 peratus dari nilai yang dilaburkan.
Saya nak tanya anda kembali jika anda adalah seorang yang bertanggungjawab untuk memberi kelulusan penjualan rumah ini, adakah anda akan memberi kelulusan? jika ya, apa jawapan yang anda akan berikan kepada ramai lagi penduduk Pulau Pinang yang masih lagi tidak berpeluang memiliki rumah?
Maka disini mungkin anda faham bahawa kelulusan tidak akan diberikan sewenang-wenangnya. Setelah permohonan anda digagalkan, mungkin anda boleh membuat rayuan. Di peringkat rayuan nanti mungkin akan ada dokumen-dokumen tambahan yang diperlukan dari pihak penjual untuk menyokong kelulusan penjualan rumah tersebut. Tapi untuk kes saya dimana pemilik telah berhijrah ke negeri lain, rayuannya telah ditolak sebanyak tiga kali dan kes ini masih lagi belum selesai walaupun sudah 3 tahun.
Nampaknya tak kiralah berapa banyak dokumen sokongan yang anda ada untuk membuktikan anda telah berhijrah ke negeri lain, Kerajaan Negeri masih lagi tidak meluluskan penjualan rumah tersebut. Setakat ini apa yang saya dengar dari rakan dalam bidang Hartanah ini kerajaan negeri hanya meluluskan untuk alasan kesihatan ataupun kematian sahaja. Contohnya pemilik rumah adalah warga emas yang sudah tidak boleh berjalan dan tinggal di tingkat atas. Kebetulan lif juga selalu rosak. Kalau anda tanggungjawab dalam memberi kelulusan mungkin anda memberi kelulusan kan?
Jika anda ingin membeli rumah kos rendah yang perlukan kelulusan kerajaan negeri tetapi pemilikan rumah tersebut telah melebihi 10 tahun, anda tetap perlu melalui proses kelulusan kerajaan negeri tetapi setakat ni tak pernah lagi dengar kerajaan negeri batalkan permohonan pertukaran hak milik untuk rumah yang telah lebih dari 10 tahun.
Maka dengan sedikit penerangan ini saya harap agar anda dapat memahami tentang masalah yang anda akan hadapi jika anda ingin membeli rumah kos rendah dibawah 10 tahun yang perlu kelulusan kerajaan negeri. Jangan terlalu yakin jika pemilik atau penjual mengatakan bahawa peguam akan fight untuk dapatkan kelulusan. Ya peguam akan fight tetapi seperti kes sivil, jenayah dsb bukan semua kes peguam boleh menang. Kalau semua kes boleh menang, tak adalah orang duduk penjara kan?
Saya cuma bernasib baik kerana pembeli yang membeli rumah tersebut bukanlah beli untuk duduk tetapi beli hanya untuk buat pelaburan. Beliau pun memang sudah dimaklumkan dari awal lagi tentang masalah yang bakal dihadapi sebelum beliau membuat bayaran booking. Kalau tujuan beli adalah untuk duduk dalam masa yang terdekat, mungkin saya akan hadapi masalah besar. Ya tiga tahun adalah satu tempoh yang panjang. Kalau beli rumah projek baru yang baru nak rata tanah pun, dah tentu projek rumah tu dah siap.
Maka kalau ada nak beli rumah subsale atau rumah secondhand adalah lebih baik jika anda beli melalui ejen hartanah kerana ejen Hartanah terlebih dahulu selidik latar belakang rumah yang hendak dijual. Kalau ada masalah, kami akan cuba menasihati pemilik rumah untuk selesaikan apa yang belum selesai terlebih dahulu. Kalau nampak payah sangat, kami tak jual rumah tu dan baik kami tumpu kepada rumah yang lebih senang untuk dijual.
Jual beli rumah bukanlah semudah beli ikan dipasar. Anda perlu pengalaman untuk lakukannya.
Nazree
0164449278
Ulasan
Catat Ulasan