Ada ketikanya McDonald's lah yang kita cari

Semalam saya ada cerita yang saya memang tak pergi sangat McD. Tapi ada satu ketika yang saya memang terdesak cari McD iaitu ketika saya di Shanghai dan Suzhou, China. Masa tu pergi atas urusan kerja dan ada staff dari Shanghai yang bawa kami makan. 

Namun tempat makan yang dia bawa selalunya kami tak lalu makan. Ada ke patut dia order siput babi untuk kami. Manalah kami tahu sebab depa cakap Mandarin. Lama juga kami tunggu order siap dan bila sampai tengok rupanya siput babi, kecewa ooo. Order ikan goreng pun problem juga. Ikan goreng depa tak letak kunyit dan goreng gitu je. Masuk tekak rasa macam nak keluar balik. Gitu juga dengan lauk lain. Sambal pun depa tak tumis. Cili kering tu depa blender dan rebus gitu je untuk jadi sambal. 

Masuk hari ketiga kami decide untuk makan sendiri  untuk tengah hari dan malam. Bila kita di tempat asing, kita mesti akan cari benda yang kita kenal terlebih dahulu. Yang kita kenal kat sana dan rasa ada benda boleh makan cuma McD dan Burger King sahaja. Maka tengah hari kami akan makan fillet O Fish McD dan malamnya kami akan makan versi Burger King pula. Begitulah kami ulang selama beberapa hari. Pagi makan kat hotel tapi cuma berani ambil bubur yang diletak daun bawang dan kacang goreng sahaja. 

Shanghai lah pengalaman paling susah nak cari makan. Bukan sebab depa Cina. Berbeza dengan Taipei yang memang banyak seafood dan rasa dia kena dengan selera orang Malaysia. Kat Taipei saya rasa mewah makan. Shanghai pula cara masak dia lain. Memang saya tak lalu. 

Itulah ketikanya saya memang cari McD untuk hidup.

Minum air McDonald's percuma di masjid ketika kempen boikot McD

Setakat ni saya pernah pergi Starbucks cuma 2 kali. Itu pun orang belanja. McD pun bini yang belanja. Selalunya lepas tu saya akan bising sebab belanja kat RM100 tapi tak kenyang. Bagi saya lebih baik belanja kat nasi kandar yang boleh kenyang sampai malam. Baru ni McD kalau saya beli pun cuma menu Rahmah je. 

Teringat dulu kat UTMKL masa duit biasiswa masuk lambat, pernah la masuk McD kutip kentang goreng baki orang tak makan untuk alas perut. Agak mengejutkan juga ada kentang goreng yang penuh tak disentuh lansung dan kalau nasib baik, ada juga air Coke yang penuh juga. Ada 2,3 kawan saya juga ikut sekali. Janji kami tak lapar. Ada baiknya juga orang Malaysia jenis malas kemas meja lepas makan kat McD. Dapatlah orang yang tak bernasib baik makan. Inilah ikhtiar hidup di KL dengan duit tak ada. Nasib baik asrama tengah KL dan nak pergi McD tu cuma jalan kaki sahaja. 

Dekat McD je boleh buat macam ni dan tempat lain tak boleh. Kalau KFC, mungkin ada peluang untuk kita dapat roti atau kentang putar tapu kebarangkalian nak dapat adalah tipis. Berbanding McD, kebarangkalian nak dapat makanan adalah besar. 

Itulah saya. Kalau nak pergi McD, pilihannya adalah free ataupun menu Rahmah sahaja. McD tak ada Chance untuk jadi kaya dengan saya. 

Jadi bab boikot barang ni tak terpakai kat saya sebab memang saya malas pergi tempat tempat ni. Cuma setiap sembahyang Jumaat kat tempat saya ( masjid Al Falah pengkalan tambang, Bukit Mertajam), akan ada air oren McD free. Kadang-kadang kesian juga tengok adik McD yang sediakan air kat masjid ni. Mesti dia terfikirkan tanggapan orang tentang konflik Israel Gaza sekarang ni. 

Tapi saya minum je dan kadang-kadang 3 cawan saya minum. Free lah katakan. 

Saja tulis bagi perspektif berbeza.

Iklan yang mengelirukan di Medan Selera Lotus Bagan Ajam

Sementara nak tunggu anak habis sekolah dan ambil dia dari asrama SMK Dato Onn Butterworth, saya pun makanlah di Lotus Bagan Ajam. Di sini ada terdapat medan Selera yang ada menyediakan pelbagai makanan dan minuman. Antara yang mendapat perhatian saya adalah mi rebus Pak Nan. Harganya adalah rm6.
 Saya lihat di dalam gambar yang tertera di depan kaunter ada terdapat mee, kuah, telur, daging dan sedikit sayur. Selepas saya membuat pembayaran dan saya pun dapat satu alat untuk memberitahu kita kalau makanan kita sudah siap. Bila alat tu bergetar dan menyala maka saya pun ke kaunter untuk ambil makanan kita di kaunter. 
Selepas saya ambil kaunter saya dapati bahawa macam tak nampak daging. Saya masih lagi berfikiran positif dan mungkin dagingnya ada dibawah mee atau kuah.

Namun sangkaan saya meleset kerana sehingga habis makanan pun masih tak terdapat daging seperti yang tertera digambar. Walaupun di gambar ada ditulis bahawa gambar hanyalah sebagai ilustrasi, tapi kalau contohnya ayam gambar besar tapi sebenarnya dapat ayam kecil tak mengapa juga. Ini tiada langsung! 
Diharap pihak Tesco ambil perhatian tentang perkara ini. Iklan yang mengelirukan. Oleh kerana saya tidak makan telur rebus, maka sumber protein saya untuk makanan ini hanyalah dari tauhu. 

Tak apa. Ianya jadi pengajaran untuk saya dan supaya pembaca yang lain cakna tentang perkara seperti ini yang mungkin berlaku. 
 

Pengalaman terpergi festival gay di Jerman

Semasa di Jerman dulu saya pernah pergi konsert free. Sebenarnya tak ada perancangan pun dan konsert tu terletak depan stesen keretapi. Ianya bukan terletak di dalam stadium tapi lebih kepada daratan yang luas di depan stesen keretapi Frankfurt. Dalam bahasa Jerman nya adalah Frankfurt Haupbahnhoff. 

Memang hujung minggu tu saya tak ada plan dan saja nak jalan jalan bandar Frankfurt tanpa ada tujuan. Nak pergi mana pun, kita mesti tempuh dataran tu terlebih dahulu. 

Ramai orang berkerumun di situ. Didepan seda kali ada band memainkan lagu mereka. Enjoy juga lagu tu. Disamping itu ada banyak patung SpongeBob. Belon besar SpongeBob pun ada. 


 Saya layan hampir 15 minit juga. Tak faham pun apa yg dia cakap kat depan tapi tiba-tiba semua orang kat situ cium sesama sendiri. Lagi geli bila tengok pakcik tua cium pak cik tua kat sebelah kita. Terus saya belah.

Esok bila masuk office, saya takut sebab office saya semua lelaki Jerman. Bila nak balik, saya cerita kat diorang. Diorang semua gelak dan kata patutlah saya nampak takut takut. Rupanya hari yg saya pergi bandar tu ada lgbt festival.



Rupanya bagi golongan gay, SpongeBob adalah simbol untuk mewakili mereka. Bila difikirkan betul juga sebab SpongeBob ni kadang-kadang boleh jadi watak perempuan. 

Pengalaman melawat Kampung Agong Penaga

Betul lah orang kata ada kalanya orang jauh lebih tahu apa yg menarik kat tempat kita berbanding kita sendiri. Kalau tak kerana adik ipar yg dok Bera, kami pun tak sampai sini. Padahal banyak kali lalu kat depan saja tapi tak teringin nak masuk pun. 

Sekali masuk, memang patut lah ramai yg pergi. Kat depan sebelum masuk ada tulis "mini Bali". Kami sebagai yg pernah pi Bali, boleh kata tempat ni amat berbaloi. Parkir disediakan. 

Ianya dibuka setiap hari termasuk hari cuti am dari 9 pagi hingga 6 petang. Tiket masuk adalah sebanyak RM10 untuk orang dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. OKU pula adalah RM6 dan separuh harga untuk kanak-kanak. Untuk anak bawah 3 tahun percuma. 

Tempat ni luas sampai anak anak pun mulanya meragam sebab nak kena jalan jauh. Dari kejauhan boleh nampak orang sayup jalan kaki untuk ambil gambar. Boleh dikatakan sini memang syurga untuk mengambil gambarm. Macam macam prop ada disediakan untuk menjadikan setiap gambar kita itu fotogenic. 


 Sebenarnya ada beberapa lagi hot spot yang kami terpaksa skip sebab anak dah tak larat jalan.

Kalau anda ada plan nak datang Penang, memang anda kena masukkan tempat ini sebagai destinasi wajib anda. Tapi saya cadangkan untuk datang selain dari Sabtu dan Ahad kerana tak cantik gambar kalau ramai sangat orang dalam gambar. Biarlah dalam gambar tu cuma ada kita dan alam sekitar sahaja. 

Lambakan Makanan Untuk Mangsa Banjir: Perlunya Koordinasi dan Pemahaman

Isu lambakan makanan untuk mangsa banjir bukan perkara yang baru. Tetapi, tak ramai orang yang benar-benar faham mengapa perkara ini berlaku.
Sebagai contoh ketika musim cuci rumah, lebih baik jika makanan dikirim ke semua rumah yang terkesan. Di pusat pemindahan sementara (PPS), hampir tiada orang yang tinggal ketika musim cuci rumah. Rumah-rumah yang terkena banjir kebanyakannya mengalami kerosakan begitu juga dengan kenderaan. Maka tidak mudah bagi mereka untuk berjalan kaki berkilometer ke PPS hanya untuk mengambil makanan. 

Selain pembersihan rumah, pembersihan kedai makanan dan kedai runcit sekitar juga mesti sedang sibuk dibersihkan dan masih tutup. Komuniti sekitar yang terkesan dengan banjir besar biasanya mengambil masa lebih seminggu untuk kembali normal. Selagi kedai tidak dibuka, selagi itu penduduk sekitar perlukan bantuan. 

Banyak makanan yang ditinggalkan di PPS bukanlah tanda bahawa mangsa banjir tidak perlu bantuan. Ada yang mengatakan bahawa mangsa banjir memilih makanan. Jika makanan pertama yang datang adalah nasi dan kari telur rebus, satu jam kemudian makanan kedua yang datang adalah nasi dan kurma telur rebus. Kemudian, satu jam berikutnya datang lagi nasi dan sambal telur rebus. Jika bukan mangsa banjir, mungkin kita pun tidak boleh makan semua itu untuk tengah hari saja. 

Jadi, tidak adil untuk terus menuduh mangsa banjir terlalu pilih-pilih dalam makanan yang diberikan. Saya sendiri tidak makan telur rebus sejak kecil, tapi alhamdulillah ada dermawan yang membawa ikan bakar petai, ayam goreng, ayam masak merah, dan daging masak kicap. Akhirnya, saya juga dapat makan.

Untuk mengurangkan pembaziran, daripada memberikan mangsa banjir nasi dan telur rebus sebanyak 3 kali, mungkin lebih baik jika pihak A menyediakan nasi, pihak B menyediakan ayam, dan pihak C menyediakan sayur. Koordinasi diperlukan untuk melaksanakan cadangan ini. Kalau makanan yang disediakan pihak ABC ini sampai berlainan waktu juga tidak jadi. 

Saya hanya ingin memberikan pandangan agar pihak luar benar-benar memahami keadaan sebenar. Jika cara ini dijalankan dengan betul, insyaallah tidak akan ada pembaziran yang berlaku.

Dentuman kuat sehingga Masjid Tanah hingga Putrajaya bergegar

Saya tertarik dengan satu post di Facebook group Komuniti Masjid Tanah tentang bunyi yang kuat hingga menggegarkan rumah pada 23 Oktober 2023. Saya tertarik kerana keluasan radius yang terkesan boleh sampai sehingga ke Putrajaya. 



Rata-rata mengatakan ianya berpunca dari kilat namun yang berbeza pada kali ini ialah tahap dentuman nya adalah kuat dan berlarutan hingga satu minit. 

Antara nama kawasan yang terkesan adalah Alor Gajah, Sungai Udang, Rembau, Lenggeng dan Putrajaya. 

Anda ada sebarang komen? 


Cara nak tulis huruf yang mempunyai tanda diatas dengan Android phone

Assalamualaikum semua. Dengan teknologi yang semakin canggih sekarang ini, ramai orang mula menggunakan teknologi A.I dengan lebih meluas termasuklah penggunaan suara A.I. Mungkin ramai yang mengatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang mudah untuk dipelajari. Tapi apabila kita mula menggunakan A.I, baru kita sedar bahawa bahasa Melayu agak sukar untuk dipelajari kerana terdapat beberapa perkataan yang tulisan yang mempunyai sebutan berbeza contohnya air, perang, berang dan pelbagai lagi perkataan yang seumpamanya. 

 Bila kita ingin menggunakan perkataan-perkataan seperti ini di dalam A.I, kita akan menghadapi masalah untuk menaip huruf yang sepatutnya untuk sebutan tersebut. Dalam konteks ini adalah tulisan yang mempunyai huruf yang mempunyai tanda di atasnya. Kali ni saya nak tunjuk cara macam mana kita nak mendapatkan tulisan yang mempunyai tanda di atasnya.
Mula-mula kita tekan bahasa papan kekunci di bawah itu selama 2 saat. Kemudian akan keluar input bahasa . Selepas itu kita pilih setting bahasa dan di atas sekali kita boleh nampak ada bahasa Aceh. Kita pilih bahasa itu. Setelah bahasa Aceh itu diaktifkan di dalam handphone kita, maka kita sudah boleh menggunakannya. 

Sekarang jom kita tukar sebutan beras perang kepada sebutan yang sepatutnya. Untuk mendapatkan huruf e dengan tanda di atas, kita perlu tekan selama dua saat dan kemudian kita akan nampak ada beberapa pilihan yang akan diberikan kepada kita. Pilih huruf yang kita nak dan kemudian jom kita dengar apa yang akan disebutkan untuk perkataan ini. 
Selepas guna, jangan lupa kembalikan Mode bahasa ke bahasa Melayu. Sekarang anda dah tahu caranya. Sekian terima kasih

Cara memasak beras perang dengan betul dan dengan menggunakan periuk tekanan noxxa

Assalamualaikum semua! Kali ini saya ingin menunjukkan cara yang betul untuk memasak beras perang. Seperti yang kita semua ketahui, beras perang memiliki khasiat yang lebih baik daripada beras putih kerana kandungan mineral dan seratnya yang lebih tinggi.
 Bermacam-macam jenis beras perang ada, tetapi yang terbaik adalah beras perang Unpolished. Kaedah memasak beras Unpolished dan polished berbeza, jadi saya akan membuat video yang berbeza untuk memasak beras perang polished.


Tanpa membuang masa, mari kita mula memasak. Pertama, kita ambil 3 pot beras. Satu pot beras bersamaan dengan 150 gram. Jadi, beras yang saya gunakan adalah 450 gram. Kemudian, basuh dan rendamkan beras tersebut dengan kadar air lima kali ganda dari jumlah beras. 

Menurut kajian saintifik, rendaman ini mampu mengurangkan kadar arsenik dalam beras perang sebanyak 80 peratus. Selain itu, ia juga dapat mengeluarkan bahan phytic asid yang menghalang penyerapan mineral dari beras perang. Biarkan rendaman tersebut selama 4 jam.

 Kemudian, buang air dan bilas beras. Setelah itu, masukkan air dengan jumlah yang sama dengan beras dan tambahkan 100 ml air lagi. Jadi, jumlah air yang saya gunakan adalah 3 pot dan tambahan 100 ml. 

Kemudian, masukkan beras ke dalam periuk Noxxa dan tekan butang high pressure selama 7 kali. Sekarang, nasi sudah siap dan mari kita tengok hasilnya. Nasi ini cantik, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.