Lambakan Makanan Untuk Mangsa Banjir: Perlunya Koordinasi dan Pemahaman
Isu lambakan makanan untuk mangsa banjir bukan perkara yang baru. Tetapi, tak ramai orang yang benar-benar faham mengapa perkara ini berlaku.
Sebagai contoh ketika musim cuci rumah, lebih baik jika makanan dikirim ke semua rumah yang terkesan. Di pusat pemindahan sementara (PPS), hampir tiada orang yang tinggal ketika musim cuci rumah. Rumah-rumah yang terkena banjir kebanyakannya mengalami kerosakan begitu juga dengan kenderaan. Maka tidak mudah bagi mereka untuk berjalan kaki berkilometer ke PPS hanya untuk mengambil makanan.
Selain pembersihan rumah, pembersihan kedai makanan dan kedai runcit sekitar juga mesti sedang sibuk dibersihkan dan masih tutup. Komuniti sekitar yang terkesan dengan banjir besar biasanya mengambil masa lebih seminggu untuk kembali normal. Selagi kedai tidak dibuka, selagi itu penduduk sekitar perlukan bantuan.
Banyak makanan yang ditinggalkan di PPS bukanlah tanda bahawa mangsa banjir tidak perlu bantuan. Ada yang mengatakan bahawa mangsa banjir memilih makanan. Jika makanan pertama yang datang adalah nasi dan kari telur rebus, satu jam kemudian makanan kedua yang datang adalah nasi dan kurma telur rebus. Kemudian, satu jam berikutnya datang lagi nasi dan sambal telur rebus. Jika bukan mangsa banjir, mungkin kita pun tidak boleh makan semua itu untuk tengah hari saja.
Jadi, tidak adil untuk terus menuduh mangsa banjir terlalu pilih-pilih dalam makanan yang diberikan. Saya sendiri tidak makan telur rebus sejak kecil, tapi alhamdulillah ada dermawan yang membawa ikan bakar petai, ayam goreng, ayam masak merah, dan daging masak kicap. Akhirnya, saya juga dapat makan.
Untuk mengurangkan pembaziran, daripada memberikan mangsa banjir nasi dan telur rebus sebanyak 3 kali, mungkin lebih baik jika pihak A menyediakan nasi, pihak B menyediakan ayam, dan pihak C menyediakan sayur. Koordinasi diperlukan untuk melaksanakan cadangan ini. Kalau makanan yang disediakan pihak ABC ini sampai berlainan waktu juga tidak jadi.
Saya hanya ingin memberikan pandangan agar pihak luar benar-benar memahami keadaan sebenar. Jika cara ini dijalankan dengan betul, insyaallah tidak akan ada pembaziran yang berlaku.
Ulasan
Catat Ulasan