Tips pembelian rumah pertama: Proses Pinjaman Perumahan dari bank dan sebab permohonan mungkin ditolak
Selepas anda lengkapkan semua dokumen dan hantar ke bank, bank akan mula memproses permohonan loan anda. Biasanya proses ini akan memakan masa sehingga 1.5 minggu. Jika ada dokumen yang tidak lengkap atau tidak jelas maka pihak bank akan meminta semula dokumen tersebut dari anda.
Selalunya permohonan akan ditolak jika didapati anda sudah mempunyai banyak hutang. Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, setiap bank ada pengiraan DSR masing-masing. DSR dalam erti kata lainnya membawa maksud nisbah hutang. Ada bank yang membenarkan anda berhutang sebanyak 60% daripada pendapatan dan ada juga yang boleh hingga 80%.
Setiap bank juga mempunyai pakej yang berbeza dan jika anda adalah pembeli rumah pertama, lebih banyak pakej yang menarik untuk anda. Contohnya mungkin anda boleh membuat pinjaman hingga 100% dari harga rumah. Ada juga yang boleh buat pinjaman 105% untuk menampung kos tambahan seperti yuran Guaman ataupun mungkin duit tu boleh digunakan untuk anda buat grill dan kitchen cabinet. Mungkin ada syarat lain yang dikenakan walaupun anda adalah pembeli rumah pertama. Contohnya harga rumah yang dibeli mestilah di bawah harga RM300 ribu ataupun pendapatan anda haruslah di bawah RM5000 sebulan. Kena ingat pakej yang ditawarkan oleh pihak bank sentiasa dan boleh berubah dan anda haruslah sentiasa peka dengan pakej-pakej yang terbaru
Ramai juga yang gagal dalam pinjaman perumahan kerana mempunyai rekod pembayaran hutang yang tidak cantik. Rekod bayaran hutang ini boleh dilihat melalui report CTOS dan juga CCRIS. Ada pelbagai lagi faktor yang membolehkan orang gagal dalam memohon pinjaman tapi selalunya dua faktor Inilah yang selalu menjadi masalah kepada pemohon.
Ada juga bank yang menolak permohonan loan anda atas sebab lain dan bukannya sebab anda. Contoh yang saya pernah dapat adalah Hong Leong Bank menolak permohonan klien hanya kerana rumah tersebut rupanya berstatus rezab Melayu. Bukan masalah besar pun sebab kita boleh minta loan dari Bank lain pula. Alhamdulillah client saya tu lulus dengan pinjaman dari CIMB.
Jika pihak bank meluluskan permohonan anda selalunya anda akan dihubungi serta merta melalui telefon ataupun WhatsApp. Ketika itu anda akan diberitahu berapa jumlah yang diluluskan, tempoh berapa tahun dan berapa juga kadar faedah yang dikenakan terhadap anda.
Itu adalah secara ringkasnya tetapi kemudian pihak bank akan menyediakan letter offer ataupun surat tawaran secara rasmi kepada anda. Ketika itu pihak bank juga akan bertanya kepada ejen tentang lawyer yang akan dilantik untuk urusan jual beli ini. Kemudian ejen akan hubungkan kedua-dua pihak ini untuk urusan selanjutnya. Pihak bank juga akan menghubungi anda untuk aturkan sesi tandatangan surat tawaran.
Ulasan
Catat Ulasan