Kisah seram TLDM Lumut 1985

 Kali ni saya nak ceritakan kisah seram yang berlaku pada diri saya pada sekitar awal 80-an. Ketika itu kami baru pindah ke TLDM lumut yang ketika itu juga baru dibuka.  Kami antara  yang awal pindah dari Singapura ke TLDM Lumut.  Masa tu bangunan banyak kosong dan bila malam suasana gelap saja. Bayangkanlah kalau ada kawasan yang luas besar dan banyak bangunan tinggi tapi kosong dan anda tinggal di situ mesti anda pun rasa seram kan?  Begitulah juga perasaan kami semasa tinggal di sana. 

 Banyak cerita yang kami dengar dari jiran-jiran tentang aku makhluk halus yang mereka jumpa di sekitar bangunan kami iaitu Blok A5.

 Selain dari cerita hantu di blok A5 kami juga selalu dengar cerita cerita hantu di sekolah SK TLDM. Namun saya sendiri tak pernah lagi jumpa hantu di sekolah. Setelah beberapa tahun Tinggal di TLDM barulah kami merasai sendiri pengalaman yang menyeramkan. Masa tu sekitar tahun 1985 di mana adik saya Shidi di baru saja dilahirkan. Dia selalu menangis pada waktu malam. Oleh kerana susah nak bagi dia berhenti menangis maka kami pun cuba cara alternatif iaitu dengan merujuk kepada seorang makcik yang dikatakan pandai mengubat. Makcik tu tinggal di blok A7 tak silap saya.

 Beberapa minggu sebelum menjumpai makcik tersebut, mak saya ada menceritakan yang beliau ternampak bola-bola api menuju Pulau Pangkor. Apabila dia menegur, bola api tersebut pun padam. Ada beberapa jiran yang ternampak bola api juga

 Mak saya bawa saya sekali ke rumah makcik tersebut. Setelah bercerita tentang masalah kami makcik itu pun baca berapa surah dan kemudian memotong limau nipis di dalam satu bekas yang berisi air. Dari pengamatan beliau ada makhluk halus yang mengganggu adik saya pada waktu malam. Dia cuba menunjukkan sesuatu pada mak saya dari bekas air tapi saya pun sendiri pun tak faham apa yang boleh kita nampak dari bekas air tersebut. 

 Sebelum balik kami diberikan satu tangkal dan beliau berpesan untuk kami letakkan tangkal tersebut di buaian. Setelah pulang ke rumah, pada malamnya kami gantung tangkal tersebut di buaian adik saya. Adik saya tidur di bilik ibu bapa saya dan saya pula tidur sorang-sorang dalam bilik sebelah. Malam tu saya tidur macam biasa namun pada pukul lebih kurang 5 pagi saya terjaga kerana bermimpi pelik. 

 Bila terjaga mata saya ternampak bayang-bayang dalam bilik saya. bayang-bayang tersebut lebih menyerupai kepada serigala jadian sebab boleh nampak bayang telinga dan bulu-bulu di badannya menyerupai serigala jadian.  Masa tu saya tak tahu apa itu serigala jadian dan saya tiada istilah yg tepat untuk menggambarkan makhluk yg saya nampak sehinggalah saya tengok cerita warewolf kat televisyen. Tinggi makhluk tu hampir menyamai tingkap bilik saya. bayang-bayang tersebut kelihatan jelas di pintu bilik. Saya beranggapan yang makhluk halus tu sebenarnya berada diluar tingkap dan memerhati saya yang sedang tidur di dalam bilik. 

 Pelik juga sebab saya nampak di bahagian mata bayang bayang tersebut bersinar berwarna merah. Sepatutnya  bayang-bayang warna hitam sahaja. jika dia berada diluar dan bayang bayang boleh kelihatan pada pintu bilik, itu bermakna objek itu adalah objek legap. takkan hantu objek legap pula kan? Pening.

 Lupa nak bagitahu yang rumah kami berada di tingkat 7. Kalaulah ada orang yang nak menyamar jadi hantu, sanggup ke orang nak panjat bangunan tingkap 7 dan duduk di luar tingkap saya pada 5am? masa tu pelbagai perkara yang melintas di fikiran. Walaupun ketika itu saya berada di sekolah rendah dan belum lagi belajar sains tapi saya dah boleh  fikir dari segi logik.

 Yang pasti ada bayang-bayang serigala jadian di pintu bilik saya bersama 2 pantulan cahaya merah. Sejam juga saya melihat bayang-bayang tersebut. Takut nak bergerak dan berlari keluar bilik sebab takut nanti kena gigit dengan serigala jadian pula. Nak menjerit panggil bapa saya pun tak berani sebab nanti kena gigit juga. aduhai. Saya pun terus berdiam diri. Saya tengok dia dan dia tengok saya selama hampir satu jam. 

 Akhirnya kedengaran azan subuh dan ketika Itulah saya mendapat semangat untuk lari sekuat hati serta memanggil ibubapa saya dibilik sebelah. Bapa saya bangun dan terus ke bilik saya untuk melihat apa yang saya katakan. Namun kelibat hantu tersebut telah tiada. 

  Pagi tersebut mak saya menceritakan hal tersebut kepada jiran dan ketika itu juga ada jiran mengatakan yang mereka juga mengalami pengalaman yang aneh. Suami jiran mengadu yang tangannya telah dipulas semasa mengambil wuduk untuk bersembahyang subuh. Selepas dari insiden tersebut, tiada lagi makhluk halus yg melawat rumah kami.
 Semasa di Sekolah Menengah waktu tu famous dengan novel seram Bercakap Dengan Jin. Tengok muka depan novel tersebut ada menyerupai serigala jadian yang saya nampak pada malam tersebut. Kebetulan juga cerita cerita Siri Bercakap Dengan Jin tu lokasinya disekitar daerah Manjung . Adakah makhluk yang saya nampak malam itu adalah sama dengan makhluk yang penulis Bercakap Dengan Jin tu nampak?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan