Hati hati bila nak beli rumah subsales kos rendah


Kali ini saya nak sentuh bab mengapa kita perlu hati-hati bila kita nak beli rumah kos rendah. Bila kita scroll iklan-iklan jual rumah yang ada di pelbagai platform,  mungkin kita akan terjumpa beberapa rumah yang dalam kategori rumah kos rendah. Ramai yang tak tahu yang rumah subsales atau rumah secondhand kos rendah ni bukan senang-senang boleh dijual. Kebanyakan rumah kos rendah memerlukan kelulusan kerajaan negeri untuk  penjualan. Perkara ini boleh disahkan melalui geran.  Lain negeri lain syaratnya tetapi ada juga syarat-syarat yang lebih kurang sama antara negeri-negeri. Contohnya rumah kos rendah tersebut tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun dari tarikh pembelian.

Saya sendiri pun pernah ada kes di mana kawan saya minta tolong saya untuk jualkan rumah kawan dia yang baru 5 tahun pemilikan.  Kawan dia atau pun pemilik rumah tersebut dah cuba untuk mendapatkan pertolongan dari beberapa agen hartanah tapi mereka semua menolak sebab mereka sudah tahu yang rumah tersebut susah untuk dijual serta akan membazir masa. Walaupun saya tahu yang rumah tersebut sukar untuk dijual tapi saya tolong juga atas dasar kesian dan juga saya pun ingin cuba kalau kalau berjaya.

Rumah tersebut terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan tuan rumah pula sekarang ni tinggal di Perlis. Alasan yang beliau berikan  untuk menjual rumah tersebut adalah kerana beliau tiada lagi kepentingan untuk mempunyai rumah di Pulau Pinang.  Nampak macam ada harapan untuk rumah tu dijual tapi dari awal saya tak janji sebab semuanya terletak pada Kerajaan negeri.  Rumah tersebut pada asalnya dibeli pada harga RM40 ribu dan harga yang beliau ingin jual adalah pada RM200k. Setelah berbincang  beliau bersetuju untuk turunkan harga kepada  RM160 ribu.

Setelah dapat  pembeli  dan urusan permohonan loan pun telah diluluskan, maka Saya pun ke proses seterusnya iaitu urusan guaman.  Permohonan kelulusan kerajaan negeri diuruskan oleh peguam.  Malangnya permohonan untuk penjualan kami tidak diluluskan oleh kerajaan negeri.  Kemudian kami mohon untuk pertimbangan semula selama beberapa kali namun tetap gagal sehingga hari ni. Kes masih belum selesai selepas 3 tahun. Nampaknya alasan yang diberikan masih tidak kuat untuk dapat kelulusan dari kerajaan negeri.

Dalam kes ini kita tidak boleh menyalahkan kerajaan negeri kerana apa yang mereka lakukan adalah untuk melindungi kepentingan awam.  Bayangkan beli pada harga RM40k dan jual kembali dengan harga RM160k.  dalam masa 5 tahun untung Rm110k.  Skim cepat kaya apakah ini kan?  Saya harap semua faham apa yang saya nak sampaikan.

Versi YouTube:

https://youtu.be/kZpwtU1anhk

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara scan dokumen dan IC depan belakang free dengan menggunakan handphone

Panduan Mudah: Klaim Balik Insurans Kereta yang Tidak Digunakan selepas Jual Kereta

Nasi Kandar Ali Khan, Sungai Dua Butterworth