Episod 1: Pengalaman memiliki 3 generasi Honda Civic

 Assalamualaikum semua. kali ini saya nak menceritakan tentang pengalaman saya menggunakan Honda Civic selama 3 jenerasi. Tujuan Post ini adalah untuk berkongsi pengalaman dan juga tips tentang kereta ni agar dijadikan panduan untuk mereka yg ingin terjebak dengan model ini. Post ini akan mempunyai beberapa episod sebab ianya agak panjang.

Saya mula menggunakan honda civic FD pada tahun 2011 Setelah saya berpindah kerja dan mendapat gaji yang lebih berbanding dengan gaji di tempat kerja yang lama.  Sebelum itu saya menggunakan Kia Spectra selama lebih kurang 5 tahun. 
Pada ketika ini saya juga amat terpengaruh dengan fungsi auto Cruise. Bagi saya kereta yang akan saya pilih nanti mestilah mempunyai fungsi ini. Kebetulan kerja saya memerlukan pemanduan jarak jauh yang kerap.  Boleh kata setiap minggu lebih kurang dua kali saya akan ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang.  Saya ke Kuala Lumpur dengan menggunakan Toyota Camry yg disediakan syarikat. bagi saya fungsi auto Cruise amat memudahkan pemanduan saya serta menyeronokkan.
Honda Civic FD tercalon sebagai kereta pilihan saya kerana bentuknya dari luar yang aerodinamik dan juga ruangan kabinnya yang nampak futuristik. Sebenarnya bukan senang untuk saya membuat keputusan untuk membeli Honda Civic kerana pada ketika itu saya juga telah memandu uji beberapa kereta lain lagi.  Antara kereta yang telah saya pandu uji adalah Peugeot 308, Peugeot 3008, Peugeot 508, Nissan Sylphy, Toyota Corolla Altis. 
 Sebenarnya dari segi pemanduan saya lebih suka Peugeot 308.  Kualiti pemanduannya adalah jauh lebih bagus dari Honda Civic. Nombor 2 pilihan saya jatuh kepada Toyota Altis cuma ianya terlalu basic car. Honda civic adalah pilihan ketiga saya dari segi pemanduan dan keselesaan. Tapi isteri yg berusaha pujuk saya untuk ambil Honda civic sebab  bentuk luarannya yang cantik.  Kualiti pemanduan dia tidak kisah sangat.  setelah berbincang saya bersetuju untuk mengambil Honda Civic sebagai pengganti kepada Kia Spectra.  Lagipun harga jualan semula( resale value) honda civic dijangka lebih tinggi berbanding dengan kereta-kereta lain.

 Cuma yang saya tak berkenan dengan Honda Civic FD adalah kerana bila memandu di lebuhraya, bunyi yang datang dari luar agak bising. 
Bila kita duduk diruangan depan di bahagian pemandu, seolah-olah kita adalah pilot. Pelbagai suis dan butang berada ni panel untuk kita main. Kedudukan kerusi juga seolah-olah membuatkan kita sedang berbaring atau bersantai di atas sofa. memang selesa duduk di atas kerusi depan. ruangan kaki untuk penumpang belakang pula adalah rata. ini membolehkan penumpang yang berada di tengah ruangan belakang lebih selesa untuk meletakkan kaki. anak saya yang ketika itu masih lagi kecil boleh tidur di ruangan kaki selepas saya bentangkan tilam diruang tersebut 

 sepanjang menggunakan kereta ini kami tidak pernah menghadapi masalah teknikal yg serius.  pernah sekali CD player tidak boleh keluar atau masuk CD. lepas hantar ke service center masalah pun selesai.  Lepas tu kami ada masalah Armrest  yang kami rasakan kebanyakan pemilik Honda Civic mengalami masalah yang sama.  Bahagian yg saya bulatkan tu senang patah. Bab ni memang rasanya service center atau pun Honda tak cover untuk waranti sebab mereka boleh kata kita guna secara kasar.
 selepas model FD,  model terbaru Honda Civic FB pula dikeluarkan tetapi saya tidak berminat langsung dengan kereta tersebut.  Susah juga nak jumpa model ini berada di atas jalan.
 Kami guna Honda Civic FD sehingga 7 tahun lamanya.  Ini semuanya berpunca daripada model FC yang terlalu cantik pada saya.  Ketika itu model FC  sudah berapa tahun berada di pasaran tapi saya cuba menahan nafsu untuk tidak terpengaruh dengan kereta ini. 
 Semasa kami membuat keputusan untuk membeli Honda Civic FC kami langsung tidak test drive kereta-kereta yang lain. Pemilihan kereta adalah berdasarkan rupa bentuk semata-mata. Walaupun dipanggil ketam, tapi cantik. Dari segi prestasi, selain dari dari engine turbo saya rasakan ianya sama sahaja dengan model yang sebelumnya.

 Cuma satu yang saya agak kecewa adalah ruangan kaki bahagian penumpang belakang tidak rata seperti model FD. Bagi saya ia adalah satu kehilangan yang amat besar. Bagi saya Honda Civic pernah mengecapi pencapaian kejuruteraan yang besar apabila berjaya membuatkan ruangan kaki di bahagian belakang rata. Tapi sebaliknya kali ini Honda mengambil langkah kebelakang untuk tidak meratakan ruangan kaki ini. Mungkin ada faktor teknikal yg kita tidak tahu tapi ianya menyedihkan. Sekarang anak saya tidak boleh baring lagi di ruangan kaki.

 Sepanjang menggunakan kereta ini kami tidak pernah menghadapi masalah yang besar. Hanya satu masalah kecil yang pernah kami hadapi adalah di ruangan Armrest, dimana ia menghadapi masalah buka dan tutup. Ada bahagian yg berkaitan mekanisma buka dan tutup patah. Ini adalah masalah berulang dari model sebelum ini. Saya dapati banyak juga kereta Honda Civic model ini menghadapi masalah yang sama. 

 Dari segi pemanduan kereta ini tidaklah sebagus kereta-kereta mahal yang lain. bunyi dari luar semasa memandu kereta adalah agak bising. Gegaran juga agak kuat sama seperti model yang sebelumnya.

Tapi bila kita bincang mengenai permukaan luaran memang tidak dinafikan kereta Honda Civic FC adalah kereta yang tercantik untuk kereta sedan. Seolah-olah ianya adalah satu pengukur untuk kereta-kereta lain juga. Bangga miliki kereta ni? Semestinya!

Kereta ini memang special dan cantik tapi bila dah ramai sangat yang memakainya ianya sudah mula jadi normal. Sehinggakan Polis juga telah menjadikan kereta ini sebagai kereta ronda. apabila ini berlaku saya rasakan dah tiada special lagi kereta ini. 

 Umur saya semakin meningkat dan saya dapati Saya selalu mengalami kejang kaki apabila memandu dalam jarak yang jauh. selalunya selepas dua jam memandu saya akan mula merasakan kejang kaki. walaupun ada bantuan auto Cruise tapi ianya tidak efisien. apabila ada kereta yang perlahan di hadapan kita terpaksa memperlahankan kereta dan ini akan mematikan fungsi auto Cruise. Kejang kaki saya akan menjadi lebih teruk jika keadaan jalan raya sesak dan jalan sedikit demi sedikit.

 Apabila keluar model terbaru iaitu model FE dan saya dapati model ini mempunyai auto Cruise yang lebih bagus berserta fungsi keselamatan yang lain, saya rasakan ianya amat menarik untuk difikirkan. Kami menggunakan kereta ini selama lebih kurang lima tahun sehinggalah kami membuat keputusan untuk menukar kereta baru ke model Honda Civic FE.

Bersambung 




 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara scan dokumen dan IC depan belakang free dengan menggunakan handphone

Panduan Mudah: Klaim Balik Insurans Kereta yang Tidak Digunakan selepas Jual Kereta

Nasi Kandar Ali Khan, Sungai Dua Butterworth