Masalah kelewatan komponen dalam sektor automotif. Apa yang berlaku dikilang?

Semasa membuat tempahan kereta 5 bulan lalu, Sales advisor ada bagitahu kami yang SST akan dikenakan semula selepas 30 Jun 2022.  Sebenarnya SST sudah ditangguhkan beberapa kali sebelum ini. Menurut Sales Advisor, ada kemungkinan ianya ditangguhkan sekali lagi tapi tak pasti. Macamana pun adalah penting untuk dapat kereta secepat mungkin sebelum harga naik disebabkan SST.

Tapi sales advisor tak berani janji bila boleh dapat kereta sebab secara am semua jenama automotive kini sedang menghadapi masalah komponen. Saya rasa kerja sebagai Sales Advisor kereta sekarang ni mesti stress sebab pelanggan push tanya bila nak dapat kereta.

Semasa bekerja di bidang automotif dulu saya juga pernah ada pengalaman dalam masalah kelewatan komponen. Maka saya nak terangkan sedikit tentang apa itu masalah komponen kenderaan dan apa impaknya agar orang biasa boleh faham apa yang berlaku. Saya cuba terangkan secara am dan tak tuju khas kepada mana mana kilang kereta.

Secara am sebuah kereta mempunyai lebih 2000 komponen. Andaikan 1999 komponen sampai tapi ada 1 komponen tak sampai, secara asasnya kereta masih tetap tak dibenarkan pasang. Jika pasang, kereta itu tetap tak boleh dijual. Mesti anda tak nak terima kereta dalam keadaan 1 lampu tak ada kan? Tujuan kilang pasang kereta adalah untuk jual...untuk buat duit. Bukan sebagai hobi masa lapang. Jika pasang tapi tak jual, apa gunanya ? Selain itu jika pasang, ianya juga melanggar SOP yang telah ditetapkan untuk menjaga kualiti dan keselamatan kereta.

Kelewatan komponen adalah perkara yg ada berlaku walaupun tanpa masalah penutupan kilang di China akibat dari dasar sifar COVID mereka.

Biasanya masalah komponen yang lewat akan dibincangkan dalam pasukan yang terdiri dari Production planning, purchasing, logistic, manufacturing, quality dan mungkin melibatkan pihak Head quarters dan vendor. Tujuan perbincangan adalah untuk mengenalpasti punca dan juga penyelesaian terbaik yang tidak akan menjejaskan kualiti, kos dan juga penghantaran. Jangan terkejut jika ada kes komponen lambat sampai tapi kuantiti Production masih boleh capai hasil dari usaha team yg bagus. Tapi kalau masalah kelewatan itu sudah sampai tahap major atau tahap global, maka kelewatan output kemungkinan besar tak dapat dielakkan.

 Jika komponen yang lambat itu adalah spare tire, mungkin pihak pengilang kereta boleh pertimbangkan untuk pasang kereta berdasarkan apa yg ada terlebih dahulu dan masukkan spare tire kemudian. Tapi bagaimana pula jika komponen yang terlibat adalah komponen kritikal yang jika dipasang kemudian boleh memberikan kesan kepada quality, kos, penghantaran dan keselamatan? Maka inilah perlunya team yg bijak pandai dalam kilang untuk sentiasa menilai setiap situasi.

Jika pihak pengilang dalam keadaan terpaksa tetap memasang kereta dengan komponen yang tak cukup demi menjimatkan masa menunggu, kereta tersebut akan diletakkan di satu kawasan. Sehinggalah komponen yang sampai lewat itu dipasang, barulah kereta itu akan bergerak dari kawasan tersebut. Bergerak bukan terus keluar kilang tapi perlu masuk ke bahagian tertentu untuk diuji. Setelah lulus di pemeriksaan terakhir, barulah kereta tersebut boleh keluar dari kilang. 

Kalau jumlah kereta yg telah dipasang adalah sedikit, mungkin kereta masih boleh diparkir didalam bangunan yang sama dengan bangunan pemasangan kereta. Bagaimana pula jika semua ruang dalam bangunan dah penuh dengan kereta yang tak siap? Maka ada kemungkinan kereta perlu parkir diluar. Tiada bumbung. Kereta akan kena hujan, panas, tahi burung(yang mungkin berasid dan merosakkan cat), risiko air masuk (yang boleh membuatkan bahagian tertentu berkulat atau karat). Nak repair body paint yg kena asid tahi burung, nak repair kulat, nak repair karat tu semua perlukan duit. Silap silap sebiji kereta tu kena scrap sebab banyak sangat masalah. Apa yg saya nyatakan disini adalah andaian. Pihak pengilang tak akan ambil risiko dan lebih rela terus menghentikan pemasangan. Anda pun kalau boleh nak terima kereta yang fresh dan bukan kereta yang tersadai lama kat parking kan?

Bayangkan kalau kita asyik makan tapi lansung tak berak, lambat laun kita kembung dan akan hadapi masalah lain kan? Begitu juga dengan operasi kilang . Secara idealnya jika 1 kereta dipasang, 1 kereta keluar. Keluar bermaksud kereta ke tempat simpanan kereta sebelum diambil oleh trailer untuk dihantar ke dealer. Jika 1 kereta dipasang tapi tak boleh keluar, lambat laun akan berlaku kesesakan didalam operasi kilang. Kembung perut. Bila sesak, macam macam boleh berlaku terutama masalah dent(kemek) dan scretch(calar).

Pendek kata kilang tak akan ambil risiko untuk pasang kereta jika komponen tak cukup. 

Habis tu bila tak pasang kereta, beratus atau beribu operator kilang buat apa? Biasanya setiap kakitangan dalam operasi kilang akan sentiasa ada aktiviti  yang menjurus kepada pemeliharaan atau memperbaiki Kualiti, Kos dan penghantaran.  Ini supaya bila komponen yang lambat itu sudah sampai, pasukan sudah bersedia dan tiada alasan lagi untuk tidak capai target.

Adakah kilang rugi? Ya. Barang tak jual bermakna tiada pendapatan. Namun gaji pekerja, bil utiliti dan pelbagai lagi kos masih perlu dikeluarkan macam biasa setiap bulan. Maka bukan mudah sebenarnya kilang untuk membuat keputusan menghentikan pemasangan sehingga semua komponen sampai. Tiada siapa yang menang dalam kes ini sebenarnya.

Diharap penerangan diatas serba sedikit memberi gambaran tentang masalah komponen yang berlaku dalam sektor automotif sekarang ni. Yang masih lagi menunggu kereta, harap bersabar dan saya doakan anda dapat kereta sebelum SST diguna pakai.

Ada sebarang komen?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan