Sejarah panjang Cromok
Assalamualaikum semua . Kali ni saya nak tuliskan tentang sejarah penubuhan Kumpulan Cromok iaitu kumpulan Metal bertaraf legend yang mempunyai ramai peminat di Malaysia ini termasuklah saya. Selain itu kumpulan ini juga memberi inspirasi kepada saya untuk menubuhkan band semasa saya belajar di Jepun( 1998~2001). Namun band kami bukanlah 100% Malaysian sebab di tempat kami cuma ada 4 orang Malaysia sahaja dan hanya 2 orang sahaja yg boleh perform.
Ahli yang lain adalah pelajar berbangsa Jepun. Memang teringin main lagu Cromok tapi tak dapat sebab kat Jepun tak ada buku note lagu Cromok. Kawan Jepun kami cuma pandai tengok note saja dan tak reti cari kod sendiri. Maka kami main Metallica saja. Lagipun kebanyakan Jepun yang tinggal kat bandar kecil kami tak pernah dengar lagu Metallica. Saya guna kesempatan Jepun yg pandai baca note ini untuk main lagu susah seperti Master of Puppets, Creeping Death, One, Sanitarium, Horsemen dan Battery. Memang dapat sambutan yg baik dikalangan penonton ketika itu.
Ok kita kembali ke cerita Cromok.
Sebenarnya banyak post-post yang kita boleh jumpa tentang sejarah bagaimana penubuhan kumpulan ini tapi ceritanya pendek dan rasanya tak puas bagi kebanyakan peminat. Sejarah kumpulan hebat semestinya tak pendek dan semudah itu.
Maka kali ini saya nak buat satu post dengan lebih detail berdasarkan daripada interview Sam dan Karl Cromok. Sumber adalah dari dua interview yang berasingan maka saya akan gabungkan menjadi satu post untuk tatapan peminat Cromok yg suka membaca. Diharap post ini menceritakan sejarah Cromok dengan lebih jelas.
Umum ramai peminat Cromok mengetahui bahawa kumpulan ini ditubuhkan di Australia dan dianggotai oleh Din, Sam, Miji dan Karl. Din adalah ahli yang paling senior dan telah berada di Australia 2 tahun lebih awal berbanding dengan ahli-ahli yang lain.
Sam berasal dari Johor Bahru dan bersekolah di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang di mana Karl pula bersekolah di Sekolah Menengah Sains Selangor. Miji pula bersekolah di Kelantan. Sebelum ke Australia mereka ada buat kursus persediaan di Sekolah Menengah Sains Dungun dan di situlah mereka pertama kali berjumpa sebelum menyambung ke peringkat matrikulasi di Australia pada tahun 1985. Sam dan Karl buat matrikulasi di New South Wales manakala Miji pula di Brisbane.
Matrikulasi mereka selama 1 tahun dan selepas tamat Matrikulasi, Sam ke Griffith yg terletak lebih kurang 500km dari Sydney untuk bekerja sambilan di ladang sementara cuti. Disana Sam pertama kali jumpa Din dan Nik Romzi( akhirnya lecturer UTM). Masa tu mereka ada bawa gitar tong untuk jamming kalau bosan. Selepas habis cuti, maka tibalah masa untuk mereka kembali ke tempat pengajian masing-masing. Sebelum berpisah Din minta Sam cari beliau jika sampai Wollonggong nanti. 3 bulan kemudiannya mereka berjumpa di Wollongong.
Din sewa sebuah rumah banglo dan di sebelah rumah tersebut terdapat satu garaj buruk. Din telah ubah suai garaj itu kepada sebuah studio jamming yang menjadi tempat pelajar-pelajar Malaysia berkumpul di hujung minggu. Pelajar Malaysia pun tak ramai masa tu. .
Che Adnan salah seorang pelajar dan ahli band yang selalu lepak disitu( akhirnya engineer Petronas Kerteh) telah sponsor flooring, ceiling supaya bilik jamming tersebut lebih kedap bunyi. Ini kerana kawasan tersebut adalah kawasan perumahan dan mereka tak nak menganggu kejiranan disitu dengan bunyi bising. Alhamdulillah sepanjang mereka disana tak pernah ada complain pasal bunyi bising yg disebabkan oleh mereka. Kebiasaannya orang Australia akan terus complain ke polis.
Ketika tahun 1986 nama Cromok masih belum wujud dan mereka masih main lagu kumpulan lain saja( cover song). Sam asalnya pemain gitar dan ketika beliau sampai di wollonggong, kumpulan tersebut sudah mempunyai dua gitaris Din dan Che Adnan dan satu drummer Nik Romzi. Yang tinggal cuma lah posisi bassist saja. Maka bermula lah Sam sebagai pemain bass. Sam memang berasal dari keluarga yang berkebolehan dalam muzik. Abang-abangnya adalah pemuzik profesional yang pernah menyertai RTM, Headwind dan pernah menerbitkan beberapa album artis ternama. Oleh kerana abang-abangnya pemuzik profesional, Sam agak segan untuk bermain muzik dengan abangnya kerana beranggapan level abangnya lebih tinggi.
Sam bukanlah peminat tegar kumpulan rock sebaliknya beliau lebih gemar dengar genre Pop seperti lagu Sharifah Aini, Queen, Police dan paling berat pun layan Iron Maiden. Berbanding dengan Din dan juga beberapa ahli kumpulan yang lain mereka lebih gemar mendengar lagu yang lebih berat seperti Metallica, Slayer, Antrax dan sebagainya. Main lagu pun semestinya lagu Metal. Maka Sam perlu menyesuaikan diri dengan mereka.
Vokal pula asalnya ialah Din. Tapi kadangkala Din minta Sam nyanyi dan Din akhirnya mengatakan adalah lebih baik jika dia main gitar sahaja dan menyerahkan tugas sebagai vokal sepenuhnya kepada Sam.Tahun berikutnya Nik Romzi dan Che Adnan dah makin sibuk dengan assignment. Maka mereka terpaksa menarik diri. Disamping itu Che Adnan juga ada buat part time bawa teksi. Posisi Che Adnan di gantikan dengan Miji.
Pertama kali mereka dapat peluang membuat persembahan di Australia adalah melalui rakan mat saleh pada tahun 1987. Asalnya mereka selalu menonton persembahan band tersebut disekitar Wollongong dan sambil itu mengecek tanya jika ada peluang untuk membuat persembahan. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya mereka berjaya mendapat slot. Bab bayaran pula mereka cuma dibayar dalam bentuk token. Asal lepas duit minyak.
Ketika itu nama Cromok pertama kali digunakan. Cromok tidak membawa apa-apa makna dan ianya hanyalah nama. Namun bagaimana munculnya nama tersebut adalah rahsia.
Persembahan pertama mereka terdiri dari 3 orang sahaja iaitu Sam, Din dan Miji. Pada awal persembahan mereka memainkan lagu Metallica tetapi mendapat respons negatif dari penonton. Siap kena booo lagi. Rupanya penonton disana lebih gemar mendengar lagu original berbanding dengan lagu cover. Bagi mereka kalau Cromok main lagu Metallica, lebih baik mereka pergi tengok Konsert Metallica saja.
Di akhir persembahan, mereka memainkan lagu Sweet Charity berjudul Terharu dan ketika respon penonton amat positif. Walaupun itu juga sebenarnya lagu cover tapi mat Salleh Australia tak perasan dan tak pernah dengar. Mereka anggap itu adalah lagu original. Selepas itu semua ahli Cromok berpendapat bahawa mereka perlu ada lagu original untuk mendapat perhatian penonton disana. Tak sedap pun tak apa janji original. Oleh kerana band hanya terdiri dari 3 orang, maka bunyi agak kosong. Kemudian mereka panggil satu lagi kawan yang bernama Fadli atau mereka panggil Mat puck untuk bermain gitar bermula dari 2nd show.
Organiser Gig disana cuma menyediakan tempat sahaja. Barang semua kena bawa sendiri. Biasa ada 3 band untuk setiap gig. Satu band di beri masa 30 minit untuk setup, 30 minit persembahan dan band headline istimewa sedikit dapat masa lebih kurang 45 minit. Mereka buat persembahan disekitar negeri New South Wales.
Pada peringkat awal Cromok terpaksa cari sendiri slot untuk mereka main gig. Tapi lama kelamaan mereka sudah ada beberapa peminat yang akhirnya jadi kawan. Salah satu kawan mereka ni selalu tolong dapatkan slot gig untuk mereka tanpa sebarang bayaran. Cuma satu saja beliau minta izin iaitu merekod video persembahan Cromok.
Pada tahun 1989 Mat Puck keluar. Cromok terpaksa mencari pengganti dan ketika itu mereka menawarkan tempat kepada Karl. Ketika itu Karl sudah mempunyai band sendiri. Namun Karl meletakkan 3 syarat kepada Cromok iaitu
1. Mesti target untuk capai international level
2. Mesti tukar equipment supaya bunyi persembahan lebih baik. Masa tu cymbal pun dah pecah.
3. Buat demo
Setelah Cromok setuju, maka Karl pun join Cromok.
Maka mereka pun kumpul duit untuk beli alatan baru serta persediaan kos untuk merakamkan demo. Duit demo datang dari kerja part time dan juga persembahan mereka sebelumnya.
Walaubagaimanapun bagi Sam demo mereka adalah lebih kepada suka suka dan sebagai koleksi peribadi sahaja. Kos demo mereka adalah sebanyak AUD1500 dan mereka dapat sekali dengan 500 kaset demo. Kaset demo ini akan dijual di setiap gig mereka dengan harga AUD10 seunit. Biasanya setiap gig sebanyak 5~10 kaset akan terjual. Barbanding dengan band lain yang ada boleh mencecah 50 kaset di satu-satu gig.
Walaupun begitu ada demo kaset yg telah dibawa balik oleh pelajar Malaysia dan kemudian kaset ini dihantar ke VSP. VSP adalah recording label yang kebanyakannya distribute lagu disco ketika itu tetapi VSP mula nampak peluang yang agak cerah untuk mereka dalam business genre metal. Mereka pun ada sign dengan band lain contohnya suffocation sebelumnya. Perjanjian dengan VSP diuruskan oleh seorang kawan dan Karl. Ahli yang lain ikut sahaja. Lagipun tak perlu usaha tambahan di pihak Cromok sebab semuanya berdasarkan apa yang dah ada sahaja.
VSP cuma mastering balik demo kaset Cromok untuk cantikkan bunyi. Kemudian mereka juga cantikkan cover kaset. Asalnya cover kaset mereka adalah hitam putih atas faktor kos. Tapi kali ni VSP buat bagi ada warna. Akhirnya demo kaset ini berjaya terjual sebanyak 70,000 unit. Royalti untuk Cromok pula adalah sebanyak RM2 seunit. Duit royalti diterima oleh mereka setelah mereka balik ke Malaysia.
Dipihak VSP mereka anggap ini adalah album walaupun ianya terdiri dari hanya 6 lagu. Ini lah album pertama Cromok yang ramai kenali hari ini sebagai Image of purity.
Kalau kita lihat album Cromok, setiap album mesti ada gambar Unicorn. Idea menggunakan maskot Unicorn ni tercetus dari movie yang mereka pernah tonton. Unicorn adalah haiwan misteri atau fantasi. Ini dilihat kena dengan konsep lirik mereka dan mereka juga ada satu lagu berjudul Unicorn. Lagipun kebanyakan kumpulan heavy metal mengambil maskot yang agak ganas. Unicorn ni nampak lembut sedikit dan tidak keterlaluan untuk dijadikan maskot. Ini salah satu yang menjadikan Cromok lain dari yang lain.
Walaupun sudah mempunyai album, Cromok masih lagi menjadi opening act untuk persembahan di Australia. Sehinggalah persembahan mereka yang terakhir sebelum pulang ke Malaysia, akhirnya mereka diberi peluang untuk menjadi headlining band dalam persembahan. Namun ketika itu ahli cuma tinggal Sam dan Karl sahaja. Miji tak dapat sertai gig tersebut atas sebab sibuk dengan komitmen lain. Maka mereka terpaksa cari pengganti untuk gitar kedua dan juga drum. Gitar kedua diisi seorang rakyat Filipina manakala drum pula diisi oleh mat Saleh. Inilah satu-satunya persembahan mereka sebagai band utama dalam gig tersebut.
Akhirnya Sam, Karl dan Miji balik Malaysia. Sam masih ada 1 lagi kotak demo kaset yang tak habis dijual. Oleh kerana ruang yg terhad, Sam bagi percuma baki kaset demo tersebut kepada mereka yang berminat.
Din ketika itu dah bekerja sebagai engineer. Sam, Karl dan Miji pula bekerja dengan Ella production. Sam sebagai stage sound engineer dan juga technician untuk Yem Bai( BPR). Miji technician untuk Drum Izan( Rusty Blade). Karl mulanya technician gitar tapi akhirnya dapat main gitar untuk Konsert Ella. Lari cerita sikit....Saya berpeluang menonton persembahan Ella dengan lineup musician ini di Pesta Laut Lumut 1992.
Selain dari crew Ella production, kadangkala Cromok dapat peluang untuk buat opening di konsert Ella. Peluang ini memberi kelebihan kepada mereka untuk peminat Ella mengenali Cromok.
Namun selepas beberapa tahun, Sam, Karl dan Miji membawa haluan masing-masing. Sam bekerja sebagai pengajar komputer dan kerja terakhir beliau sebelum bersara adalah sebagai Manager di TM. Karl pula ada business sendiri. Manakala Miji pula bekerja di EMI dan kini telahpun bersara di Kelantan. Din pula meninggal dunia akibat demam malaria dan Sam pertama kali mengetahuinya setelah terlihat surat kematian Din di pejabat VSP.
Antara ahli lain yg pernah menyertai Cromok adalah Hillary Ang ( 3 album) dan Edry Hashim.
Moga cerita ini memberi sedikit sebanyak kepuasan kepada peminat Cromok. Saya doakan mereka diberi kesihatan dan umur yg panjang. Saya cuma pernah bersalaman dengan Miji sekali semasa saya sedang lepak dengan Abg. Lan dari kumpulan Gamma di showcase Wings hampir 20 tahun lalu. Yang lain saya tak pernah jumpa. Cuma pernah tengok mereka buat Opening masa konsert Metallica 2013. Memang seronok tengok bangsa lain pun henjut layan lagu Misty masa tu.
Panjang saya tulis kali ni. Sekian.
Ulasan
Catat Ulasan