Cara mudah dan murah buat sos peri peri macam Nando's
pertama kali saya makan Nando's adalah pada tahun 2001 setelah saya pulang tamat belajar dari Jepun. Saya ingat lagi masa tu nama Nando's masih asing dan saya pun musykil adakah ianya halal atau tidak. Dari luar nampak macam bar. Saya masuk pun sebab dapat kupon selepas derma ke Majlis Kanser Negara (Makna).
Selepas saya menikmati pada pertama kali saya terus terpikat dan selepas itu saya kerap mengunjungi Nando's berbanding dengan KFC. Namun dengan peningkatan kos harga bahan mentah terutama selepas COVID, harga makanan di Nando's juga meningkat dan ayam juga makin kecil berbanding dahulu. Anak anak pula makin membesar dan satu ketul saja tak cukup.
Maka saya terpaksa mencari alternatif iaitu dengan membuat ayam bakar sendiri berinspirasikan Nandos. Sebenarnya banyak kali saya cuba dari resipi yg terdapat di pelbagai website. Bagi saya bahan yg digunakan mereka agak sukar didapati dan kosnya juga agak tinggi.
Maka saya buat versi saya dengan bahan yang mudah didapati di Malaysia dan yang penting murah. Setelah beberapa kali mencuba akhirnya saya boleh katakan yang saya dapat menghampiri rasa sos Nando's. Sos Nando's ada 4 rasa tapi saya paling suka yang garlic. Maka resipi yang saya nak kongsikan disini adalah sos yang berperisa garlic.
Bahan bahan
8 biji cili merah
16 biji. Cili padi
3 ulas bawang putih
1 biji. Limau nipis
100ml. Cuka
1 sudu besar garam
2 sudu besar tepung jagung
Cara
1. Kisar cili merah, cili padi dan bawang putih bersama air. Tinggi air sama dengan tinggi bahan kisar.
2. Panaskan bahan kisar dalam kuali sehingga mendidih
3. Masukkan garam dan kacau
4. Campurkan cuka dan tepung jagung kedalam bekas asing. Kacau.
5. Masukan campuran cuka ke dalam kuali dan kacau hingga sebati.
6. Tutup api dan biar sehingga sejuk.
7. Perah limau nipis dan kacau.
Sos siap!
Hasil yang kita perolehi ini boleh digunakan untuk perap 2 ekor ayam dan sos cicah sebanyak 300gm. Anggaran kos untuk sos ini adalah RM4 sahaja. Kalau nak beli sos nando kat kedai harganya lebih kurang RM15 untuk 250g. Jimat banyak kalau buat sendiri kan?
Perap ayam sekurang-kurangnya 6 jam sebelum bakar. Saya suka bakar ayam dengan kayu dan asap sebab dia ada aroma yang tersendiri. Bakar selama 30 minit.
Inilah hasilnya. Selamat menjamu selera!
Ulasan
Catat Ulasan