Restoran Kapitan Lunas: Tempat Perhentian Wajib Sebelum Meneruskan perjalanan ke Baling, Gerik, Kelantan
Setiap kali Ameer pulang ke MRSM Baling, terutama selepas cuti sekolah di rumah, terdapat satu tempat yang sentiasa menjadi persinggahan wajib bagi keluarga kami. Restoran Kapitan Lunas, terletak di tepi jalan yang mudah diakses dari BKE( Butterworth Kulim Express), merupakan tempat paling sesuai untuk menikmati hidangan istimewa sebelum kami menghantar Ameer pulang ke asrama.
Salah satu ciri utama restoran ini yang menarik adalah keluasan ruang makan yang disediakan. Dengan begitu, pelanggan tidak akan merasa sempit seperti di kebanyakan restoran nasi kandar. Keadaan ini memberikan keselesaan dan membolehkan kami menikmati hidangan kami dalam suasana yang tenang dan santai. Selain itu, kelebihan lain yang menarik perhatian pelanggan adalah ruang letak kereta yang mudah dijumpai. Kami tidak perlu bersengkang mata mencari tempat letak kereta yang jauh dari restoran
Selalunya, restoran ini akan dipenuhi dengan pelanggan dari pelbagai latar belakang dan golongan umur. Pelanggan giat berpusu-pusu datang ke sini untuk menikmati hidangan khas India yang tersedia tak mengira waktu. Sama ada individu atau keluarga, semua orang berhimpun di restoran ini untuk menjamu selera dengan pelbagai hidangan enak.
Bagi kami menu di restoran Kapitan Lunas tidak lengkap tanpa hidangan wajib seperti Briyani Tandoori, Nan Cheese Tandoori, dan Briyani Lamb. Kesemua hidangan ini mempunyai cita rasa yang begitu mantap hingga mencetuskan keinginan untuk mencuba lagi dan lagi. Selain itu, Chicken Milani juga merupakan hidangan yang digemari sekali sekala. Restoran ini juga menyajikan hidangan nasi kandar. Kepelbagaian hidangan yang ditawarkan menjadikan restoran ini tempat yang wajib dikunjungi bagi pencinta masakan India.
Selain menu yang lazat, apa yang membuatkan pelanggan datang kembali ke restoran Kapitan Lunas adalah servis yang cepat. Dengan perkhidmatan yang teratur, pesanan yang diambil akan disampaikan dengan tepat pada waktu yang munasabah. Namun, yang paling menarik adalah penggunaan robot sebagai penghantar makanan dan minuman. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pengalaman pelanggan dan memastikan setiap pesanan tiba dengan tepat dan secara efisien. Pelayanan berkualiti ini merupakan pelengkap kepada juadah enak yang disediakan oleh restoran Kapitan Lunas.
Dengan harga makanan yang agak munasabah, di mana belanja makanan di sini lebih kurang RM20 seorang, kami pasti akan pulang dengan perut yang kenyang dan hati yang gembira. Kesedapan tak terhingga membuatkan pelanggan datang lagi .
Secara keseluruhannya, restoran Kapitan Lunas bukan sahaja menyediakan pelbagai hidangan India yang sedap, tetapi ia juga merupakan tempat di mana kami sering menghabiskan masa sebelum menghantar Ameer pulang ke MRSM Baling. Kelebihan seperti ruang makan luas, kemudahan parking yang mudah, pelanggan yang ramai, pelbagai menu wajib yang enak, servis yang cepat dan berkualiti, penggunaan robot sebagai penghantar makanan dan minuman, keseronokan makan, serta belanja yang munasabah menjadi magnet yang menjadikan restoran ini sebagai pilihan utama. Jadi, bagi anda yang ingin merasai keenakan hidangan India yang legendaris ini, jangan lepaskan peluang untuk mencuba restoran Kapitan Lunas. Pastinya restoran ini akan menjadi tempat persinggahan yang sentiasa menyimpan kenangan manis sebelum perjalanan pulang Ameer ke MRSM Baling yang jauh.
Ulasan
Catat Ulasan