Pengalaman makan nasi kandar di Jamal Mohamed, Butterworth
Kali ni saya nak bawa anda ke satu restoran nasi kandar yang agak kurang dikenali oleh pengunjung dari luar negeri pulau Pinang. Ianya terletak lebih kurang 2 kilometer dari Penang Sentral Butterworth dan terletak dibelakang TM Butterworth. Mudah untuk sampai disini menggunakan Google Maps, cuma parkir kenderaan sahaja yang mungkin mencabar kerana sentiasa penuh terutamanya waktu tengahari.
Kebetulan saya dah sampai sini atas urusan lain dan waktu pun sudah tengahari. Maka saya ambil kesempatan ini untuk makan di nasi kandar Jamal Muhammad. Nasib baik tak ramai yang beratur ketika ini, sebab waktu baru menunjukkan pukul 12 tengah hari dan hujan pun baru berhenti.
Kelihatan banyak lauk pauk yang disediakan. Dari yang taraf marhaen hingga ke taraf kayangan. Saya mengambil nasi, ayam goreng, sayur peria goreng dan kuah banjir. Nasi dia special sikit seakan-akan nasi minyak, cuma saya rasa kurang senang sebab nasinya lembik. Di resit tertulis RM9.30 belum termasuk air. Saya order air suam sahaja.
Suasana makan disini agak selesa dengan kerusi yang empuk, kipas yang kuat dan pencahayaan yang bagus. Meja juga banyak disediakan dan agak luas. Selepas saya habiskan makanan, saya pun ke kaunter untuk membayar. Rupanya bayaran yang dikenakan kepada saya adalah sebanyak RM10.25 kerana ada cukai servis yang dikenakan.
Sekarang anda dah tahu pilihan lain selain dari nama-nama besar yang ada di Pulau Pinang. Anda boleh cuba Nasi Kandar Jamal Mohamad dan kemudian tuliskan komen anda tentang tempat ini di ruangan komen. Sekian terima kasih dan jumpa lagi
Ulasan
Catat Ulasan