Kisah Bateri Kereta Rosak di Dalam Perjalanan dan bagaimana Applikasi Honda Connect boleh bantu kita dalam kesulitan

Semalam, saya dan keluarga sedang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke Kuantan. Segala persediaan sudah dilakukan termasuk mengisi minyak dan pam tayar. Namun, ketika kami sedang melalui jalan antara Lanchang dan Temerloh, kami terpaksa berhenti untuk ke tandas. Selepas selesai urusan di tandas, saya dapati kereta tidak boleh dihidupkan.Saya cuba hidupkan enjin beberapa kali tetapi tiada tanda-tanda enjin boleh hidup. 
Kami buntu sebab tempat tersebut adalah asing bagi kami dan kedai-kedai di situ dah nak tutup. Kami cuba Call Batteryku dan beberapa kedai lain yang kami jumpa dari Google, tapi mereka semua tidak mempunyai stok untuk bateri kereta kami. Untungnya, ada seorang pakcik dari Sungai Petani yang sedang mengisi minyak di situ. Dia bersedia untuk menolong kami dengan jump start kereta. Dengan bantuan pakcik tersebut, kami dapat meneruskan perjalanan dan akhirnya singgah untuk bermalam di rumah adik ipar di Bera sementara untuk menyelesaikan masalah bateri kereta.

Walaupun kami boleh meneruskan perjalanan, namun tanpa bateri yang betul, semua fungsi keselamatan dan power steering tidak berfungsi sepenuhnya. Pagi berikutnya, saya teringat untuk membuka aplikasi Honda Connect yang boleh memberikan maklumat mengenai status kereta. Barulah saya sedar bahawa sebenarnya terdapat amaran dua hari sebelumnya yang saya terlepas pandang.
Saya juga teringat bahawa saya telah mengambil insurans dengan Honda yang termasuk khidmat bantuan tepi jalan(road side assist). Butang 24Hrs RSA pun ada dibawah report tu. Saya segera menggunakan fungsi panggilan bantuan kecemasan dalam aplikasi itu. Dengan segera, saya berjaya berhubung dengan kakitangan bantuan tepi jalan dan mereka mula menghubungi pembekal perkhidmatan berdekatan.

Dalam masa yang singkat, seorang mekanik menghubungi kami untuk mendapatkan maklumat mengenai bateri kereta asal dan alamat rumah kami menginap. Dengan pantas, mekanik tersebut tiba. Mekanik tersebut tiba dengan bateri yang betul untuk kereta kami.  Harga yang dikenakan untuk penggantian bateri kereta adalah RM300. Saya terkejut kerana harganya begitu murah dan prosesnya begitu mudah berbanding cerita cerita yang saya dapat dari Facebook group. 

Kadangkala, kita lupa bahawa insurans yang kita ambil sebenarnya boleh memberi banyak kemudahan dan bantuan. Saya amat lega kerana telah mengambil insurans dengan Honda yang memberi khidmat bantuan tepi jalan yang begitu membantu dalam keadaan yang tidak diingini seperti ini. Saya belajar dari pengalaman ini untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa memeriksa status kereta saya melalui aplikasi Honda Connect. Untuk pengetahuan, Kereta saya adalah Honda Civic FE. Tapi rasanya semua yang menggunakan kereta jenama Honda dan Honda Insurance Plus boleh menggunakan cara ini. Saya tak pasti kalau mereka yang tidak mengambil insurans dari Honda boleh menggunakan butang dari applikasi Honda Connect tersebut. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara scan dokumen dan IC depan belakang free dengan menggunakan handphone

Panduan Mudah: Klaim Balik Insurans Kereta yang Tidak Digunakan selepas Jual Kereta

Nasi Kandar Ali Khan, Sungai Dua Butterworth