Pengalaman Nikmati Penginapan Hotel Terbaik di Cameron Highlands
Jika anda sering melancong ke Cameron Highlands dan mencari pengalaman yang berbeza, saya ada cadangan yang mungkin boleh membuatkan percutian anda lebih istimewa. Saya rekomenkan anda bermalam di hotel The Lakehouse yang bukan sahaja menawarkan penginapan yang selesa tetapi juga pengalaman yang luar biasa. Hotel ini, walaupun mahal berbanding hotel-hotel lain di Cameron Highlands, benar-benar berbaloi dengan apa yang ditawarkan.
Setibanya di hotel ini, anda akan merasai suasana ala-ala negera orang putih. Suasananya tenang dan nyaman. Apa yang membuat hotel ini menonjol ialah layanan mereka yang tidak berkira. Sebagai contoh, kami diberikan katil tambahan tanpa sebarang bayaran tambahan walaupun kami tidak memintanya.
Sarapan pagi di sini juga terbaik. Suasana English. Anda pasti akan teruja dengan pelbagai pilihan yang ada.
Salah satu pengalaman paling tidak dapat dilupakan semasa menginap di hotel ini ialah layanan istimewa sempena hari jadi anak-anak saya, Ameer dan Areef. Semasa kami check-in, mereka seronok menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi". Pekerja di kaunter penyambut tetamu mendengar nyanyian mereka dan bertanyakan siapa yang menyambut hari jadi. Kami memberitahu bahawa hari tersebut ialah hari jadi Ameer dan keesokan harinya ialah hari jadi Areef.
Keesokan harinya, sebelum kami mahu check-out, staf hotel meminta kami supaya tidak pulang terlalu awal. Kami tidak menyangka apa-apa, tetapi tiba-tiba pintu diketuk dan kami dikejutkan dengan dua biji kek hari jadi yang masih panas, khas untuk Ameer dan Areef. Memang satu pengalaman yang sangat menyentuh hati dan tidak akan dilupakan.
Inilah cadangan saya untuk anda yang sudah biasa melancong ke Cameron Highlands tetapi ingin mencari pengalaman baru dan menarik. Semoga percutian anda lebih bermakna dan penuh dengan kenangan manis!
Ulasan
Catat Ulasan