Pengalaman Seram di Terowong Jepun: Adakah Ini Hantu?
Pernah ada orang tanya pada saya, "Dekat Jepun kan ada banyak cerita hantu, takkan tak pernah jumpa langsung hantu dekat Jepun?" Sepanjang 3 tahun saya duduk di Jepun, saya tak pernah nampak hantu. Tapi, saya pernah alami perkara yang agak pelik dan menyeramkan.
Ini terjadi pada minggu-minggu terakhir saya di Jepun, selepas tamat pelajaran dan sebelum pulang ke Malaysia. Saya dan 3 orang kawan Jepun menaiki kereta ke satu tempat yang dipanggil Miyako, di mana kami ada seorang kawan yang tinggal di sana. Jauhnya hampir 200km, agak terpencil ditepi laut Pasifik dan dalam perjalanan, kami perlu melalui beberapa terowong. Di Jepun, bukit banyak, maka terowong pun banyak.
Ketika pulang, waktu sudah lewat malam, saya tak ingat pukul berapa. Dalam banyak-banyak terowong yang kami lalui, ada satu terowong yang agak pelik. Di tepinya ada sejambak bunga telah ditinggalkan oleh seseorang. Semasa sudah masuk ke dalam terowong itu, tiba-tiba kawan saya yang memandu merasakan kereta amat berat. Dia tekan minyak tapi kereta tak jalan, kereta berhenti perlahan-lahan dan akhirnya terus berhenti walaupun dia tidak tekan brek. Enjin berderum tapi kereta tidak bergerak.
Kami memang panik sebab berada di tengah-tengah terowong. Saya cuba melihat di side mirror kalau ada nampak apa-apa dibelakang, nak toleh kepala tak berani. Dari side mirror, memang tidak nampak apa-apa pun. Hanyalah cahaya bulan dari hujung terowong. Ketika itu, saya mulalah membaca beberapa surah yang saya tahu, contohnya Ayat Kursi. Kawan Jepun masa tu kelam kabut. Keadaan itu berlarutan lebih kurang 1 hingga 2 minit. Tak lama kemudian, kereta tiba-tiba boleh bergerak semula dan terus meluncur laju.
Selepas kereta berjalan, kami berempat terdiam seketika. Tak lama kemudian, kawan saya yang memandu tanya, "kau buat apa tadi?" Saya jawab saya baca surah halau hantu. "Ohhh dalam Islam pun ada ya macam tu. Kami kat Jepun kalau ada hantu, kami selesaikan masalah hantu tu. Kena tahu hantu tu nak apa." Saya fikir, patutlah filem Ju-On, The Ring dan sebagainya macam tu. Walaupun kata kawan saya agak lawak(memang dia jenis lawak), tapi leganya kami ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Itulah sahaja pengalaman seram yang saya ada di Jepun.
Ulasan
Catat Ulasan