Pengalaman Unik bersama Haiwan Liar di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah


Antara pengalaman menarik yang sukar didapati di sekolah lain adalah keunikan kehidupan di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping bersama haiwan liar. Bayangkan semasa belajar, kami kadang-kadang boleh mendengar suara harimau, gajah, dan pelbagai lagi haiwan liar dari Zoo yang terdapat depan sekolah. Pernah juga terlihat sekumpulan babi hutan berlari-lari riang di atas padang sekolah dan selalu juga, babi hutan ini boleh dijumpai berhampiran tong sampah di dewan makan.
Pernah sekali ada babi hutan jatuh dalam longkang dan tidak boleh keluar. Nasib baik ada pelajar Sabah dan Sarawak yang tolong menyelesaikan masalah itu. Saya juga pernah join skuad halau babi dengan berbekalkan penutup tong sampah dan penyapu sebagai senjata. Kononnya nak jadi Spanish Matador. 

Makanan juga tak boleh disimpan dalam loker. Kalau ada, memang monyet-monyet akan datang dan berpesta dalam dorm. Monyet-monyet ini bukanlah datang dari hutan berhampiran tetapi memang tinggal di dalam sekolah. Ada beberapa kumpulan dan mereka ada kawasan masing-masing. Ada yang menjadikan longkang sebagai sempadan kumpulan. Jika ahli kumpulan lain melebihi longkang tersebut, memang boleh kena pukul.

Lebih menarik lagi, seorang rakan dorm saya pernah membela seekor kancil di dalam dorm! Sebenarnya saya tak pasti sama ada ianya Kancil atau anak rusa. Kancil tersebut diikat kakinya di kaki katil dan dijaga hampir seminggu. Jenuh juga kami fikir apa yang Kancil ni suka makan. Selalunya diberi minum susu yang rakan saya bawa balik dari dewan makan. Akhirnya terpaksa dilepaskan kembali ke hutan kerana kancil tersebut kelihatan semakin muram.

Itulah kelebihan dan keunikan bersekolah di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah pada zaman dahulu. Kini, dengan banyak pembangunan dan perubahan di sekitar sekolah, suasana mungkin sudah berbeza. Namun, kenangan kami bersama dengan alam semula jadi ini kekal abadi dalam ingatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan