Pengalaman sewa basikal di Taman Tasik Taiping

 Minggu lepas saya telah pergi ke Taman Tasik Taiping untuk menunjukkan tempat saya bersekolah di tingkatan empat dan lima kepada anak-anak saya. Selama dua tahun, saya belajar di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah Taiping yang terletak di hadapan Zoo Taiping dan betul-betul dalam Taman Tasik Taiping. Walaupun bersekolah di hadapan zoo, saya hanya pergi ke zoo dua kali sahaja semasa di sekolah. Saya akan ceritakan pengalaman di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah pada masa akan datang. 
 Kali ini, saya ingin menceritakan mengenai aktiviti yang sedang trending di Taman Tasik Taiping iaitu berbasikal dengan model dua orang kayuh. Sampai hari ini saya tidak tahu apa istilah yang betul untuk basikal ini. Saya melihat beberapa orang menaikinya dan kemudian anak-anak saya pun nyatakan ingin mencubanya. Walau bagaimanapun, saya agak risau kerana terdapat hanya sedikit maklumat di internet mengenai aktiviti tersebut. Tanpa segan silu, kami pun bertanya kepada orang yang menjaga basikal tersebut. 
 Kami mendapati bahawa bayaran untuk berbasikal ini adalah RM20 untuk 30 minit. Bagi saya, ini adalah harga yang berpatutan sekiranya untuk sekali-sekala. Jika harganya lebih murah, tentunya lebih banyak orang akan mencuba aktiviti tersebut. Ada pelbagai contoh di mana harga yang mahal boleh mempengaruhi jumlah orang dari mencuba aktiviti tersebut, contohnya Maps Ipoh yang sudahpun tutup sebelum sempat saya mencubanya. 
 Anak-anak dan ibu saya sangat gembira dengan aktiviti berbasikal ini. Kami agak risau yang kami mungkin terlebih masa, kerana penjaga basikal tersebut mengenakan bayaran tambahan jika melebihi 30 minit. Namun selain daripada itu, menikmati pemandangan yang cantik di Taman Tasik Taiping adalah satu kelebihan yang tidak dapat dinafikan. 
 Kami bermain berbasikal selama 30 minit sebelum hujan turun. Kami memutuskan untuk berhenti kerana maklumlah Taiping terkenal dengan curahan hujan yang tinggi di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan