Gap atau celah tak sekata antara bahagian kereta. Apa yg berlaku sebenarnya?

Adalah menyakitkan mata dan hati jika kita dapat kereta baru dan kita dapati ada celah(gap) yang tak normal antara setiap part. Contohnya antara bonet dengan lampu belakang, hood depan dengan lampu dsb. Bertambah sakit mata jika kiri gap besar dan kanan gap kecil. Tak sekata. Mengapa ini boleh terjadi? Tak boleh buat perfect ke? 

Dalam bidang kejuruteraan, tak ada engineer yang boleh tahu semua benda. Untuk satu kereta, ianya akan memerlukan berpuluh jurutera di bahagian R&D. Jurutera kereta pakar dalam membuat kereta tapi mereka bukan pakar dalam pembuatan komponen kereta contohnya meter cluster, lampu, radio, steering system dan pelbagai lagi. Seperti saya pernah sebutkan di post sebelum ini, setiap kereta mempunyai lebih dari 2000 komponen. 

Kepakaran komponen kereta ada di pembekal komponen yg juga mempunya jurutera R&D mereka sendiri. Begitu juga dengan pembekal komponen yang tak boleh buat semua benda. Mereka masih perlukan kepakaran dari injection molder, stamping, tooling, casting supplier dsb untuk menghasilkan komponen. 

Maka disini saya harap anda faham bahawa kereta yang kita beli itu mempunyai pelbagai lapisan pembekal. Panjang rantaiannya. Setiap lapisan pembekal akan menghasilkan berpuluh hingga beratus part lagi. Begitulah rantaian nya.

Setiap jurutera mahukan output yang perfect kerana tiada siapa pun mahukan masalah di kemudian hari. Selain itu mereka juga ada kredibiliti dan maruah untuk dijaga sebab kereta tersebut akan digunakan oleh jiran, kawan, keluarga malah mungkin diri mereka sendiri. Namun atas kekangan teknikal yang ada pada masa ini, adalah mustahil untuk perolehi hasil 100% seperti mereka kehendaki. Dan kita juga bukan bercakap untuk menghasilkan satu kereta yang 100% perfect, tapi kita bercakap tentang penghasilan berjuta kereta.

Kita ambil contoh lens kereta. Lens dihasilkan dari plastik resin yang dicairkan dan di inject kedalam acuan untuk menghasilkan bentuk yang diinginkan. Di mesin injection molding tersebut mempunyai pelbagai parameter yang perlu dikawal contohnya suhu barrel, suhu nozel, injection pressure, clamp pressure dan pelbagai lagi. 

Engineer atau technician akan adjust parameter tersebut untuk mendapatkan hasil yang perfect 100%. Namun suhu barrel mungkin berubah sedikit setiap beberapa saat, suhu nozel mungkin berubah, injection pressure mungkin berubah dan pelbagai lagi parameter mungkin berubah seketika. Tak stabil 100%. 

Masa kita seterika baju pun, suhu seterika kadangkala tak stabil dan begitu juga hasilnya pada pakaian kita kan? Begitu juga dengan sektor pembuatan. Maka output yang dihasilkan akan menghasilkan variasi. Ada lens yg mungkin panjang atau pendek sedikit.

Oleh kerana sekarang kita mempunyai pelbagai variasi, kini jurutera kena tetapkan takat mana yang masih boleh diterima dan yang mana harus di reject. Nak reject semua yg tak 100% perfect? Alamatnya takkan ada output dari kilang tersebut. Pelanggan pun akan bising sebab tak dapat kereta. 

 Biasanya dah ada standard yang digunakan secara global untuk bab ini. Contohnya untuk produk A, panjang 300mm toleran yang mungkin boleh diterima adalah sebanyak 0.1mm. Bermakna jika pendek sikit iaitu 299mm, ia diterima. Jika panjang sikit 301mm pun ia masih diterima. Untuk part A sahaja, jurutera terpaksa benarkan 0.2mm toleran. Jika toleran kurang dari tu, pihak supplier tak mampu buat.

Begitu juga dengan stamping part yang asalnya sehelai atau sekeping logam kemudian dibentuk menjadi pintu, bonet, hood, fender dsb. Lepas dicantumkan akhirnya ia membentuk body kereta. Dalam pembuatan kereta ada istilah dipanggil body accuracy. Bab body accuracy ni saja pun dah cukup memeningkan kepala. Jika kita scan satu body kereta dan kita scan beberapa lagi kereta, kita akan dapati secara datanya ada kereta yg body senget ke kanan, ada kereta yg senget ke kiri. Itu belum masuk barang lain lagi.

Kita kena ingat kereta terdiri dari banyak part. Plastik part ada ragamnya tersendiri. Stamping part pun ada ragamnya tersendiri. Bila part part ini bergabung dan masing masing membawa toleran nya tersendiri, kadangkala kita akan dapat satu kereta yang mempunyai gap yang besar dan tak normal selepas dipasang. Ada juga yang rapat terus sampai lansung tak ada gap untuk pasang part lain.
Maka disinilah pembuat kereta akan hadapi masalah. Tak kiralah jenama apa sekalipun, mereka tetap akan hadapi masalah ini. Cuma jenama mahal ada opsyen lebih sikit lah berbanding dengan jenama murah. Mereka boleh gunakan material, mesin dan proses yang lebih bagus untuk mengurangkan variasi di peringkat komponen kereta mereka. Mesin, material dan proses yang bagus selalunya membawa kepada kos yang lebih tinggi. Kos yang tinggi membawa kepada harga kereta yang tinggi. Namun ada juga pembeli kereta mewah yg tak bernasib baik. Contoh gambar dibawah adalah dari jenama mahal.


Sekarang anda dah faham bahawa kereta mahal tu ada sebabnya dan bukan saja saja company tu nak untung lebih. Malah ada jenama kereta mahal yang rugi dan akhirnya dibeli oleh jenama kereta yang lebih murah. Contohnya Jaguar dan Land rover yang di beli dengan Tata Motors India. Lamborghini, Bugatti yang dibeli oleh Volkswagen dan pelbagai lagi contoh.

Bila setiap komponen diukur, semuanya menepati spesifikasi. Bermakna tiada kesalahan boleh diletakkan kepada pihak pembekal komponen. Habis tu gap atau celah yang abnormal ni dibiar macam tu saja ke?

Pihak pengilang kereta takkan berdiam sahaja. Ada sekumpulan professional dalam kilang yang dipanggil body adjuster. Mereka ini akan gunakan pengalaman dan kudrat mereka untuk perbetulkan apa yang menyakitkan dimata mereka. Proses ini memang seni sebab tak ada nombor yang boleh diterjemahkan ke dalam SOP mereka. 

Tapi mereka pun ada hadnya sebab proses ini bergantung kepada kudrat. Ada kereta yg tak boleh adjust lansung. Adalah impian pekerja diproses ini untuk terima kereta yang perfect tanpa body adjustment. Ada satu tahap mereka ini akan bagi red flag kepada management apabila terlalu banyak body yang nak kena adjust. Bila ini berlaku kilang mungkin terpaksa dihentikan untuk kenal pasti punca dan cari penyelesaian kepada masalah abnormal ni.

Diharap penjelasan ini sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam kes gap atau celah yang abnormal dan tak sekata pada kereta kita. 

Di post yang berikutnya saya akan ceritakan bagaimana celah ini lambat laun akan membesar dan bagaimana nak kurangkan kesan ini. Tak kiralah sehebat mana kereta itu dan cantiknya gap atau celah diantara part kereta tersebut semasa berada didalam kilang, akhirnya abnormal gap ni akan wujud juga selepas berada di jalanraya. Itu sebabnya kita boleh nampak gap yg besar dan tak sekata terutama pada kereta lama walaupun pada jenama mewah Mercedes benz, BMW dsb. 

Ada sebarang komen?



Tiada ulasan:

Catat Ulasan