Sejarah industri automotif negara yang mungkin tak ramai tahu

 Saya nak sampaikan satu cerita yang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika saya menghadiri sidang otomotif yang berlangsung sekitar 12 tahun dahulu. Cerita ini agak menarik untuk dikongsikan dan rugi rasanya kalau saya simpan cerita ni sorang-sorang.

Sebenarnya pihak media juga hadir untuk membuat liputan pada sidang itu tapi malangnya cerita lain pula yang mereka keluarkan.

Saya bukan penyokong GTA ye!

Berbalik kepada topik asal. Ketika Tun Dr Mahathir mula mentadbir negara pada tahun 1981, ketika itu rata-rata penduduk Malaysia masih lagi mempunyai tahap pendapatan yang rendah terutama sekali orang Melayu. Rata rata orang Melayu ketika itu bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan  dan penoreh. Maka beliau berhasrat mengubah nasib anak petani, pesawah, nelayan dan penoreh untuk menjadi lebih baik. Lebih baik bermaksud untuk anak-anak golongan ini bertukar menjadi golongan profesional yang berpendapatan tinggi.

 Beliau fikirkan profesion itu juga nanti mestilah boleh diisi oleh ramai orang supaya banyak keluarga boleh mendapat manfaatnya. Akhirnya bidang kejuruteraan berteknologi tinggi telah dipilih kerana ianya menepati kriteria beliau. 

Ini kerana untuk membuat sesuatu yang rumit ianya memerlukan ramai pemikir. Seperti saya pernah sebutkan sebelum ini; kereta memerlukan lebih 2000 komponen dan diperingkat R&D sahaja memerlukan beratus engineer. Ini belum lagi termasuk jurutera dibahagian lain contohnya di bahagian operasi. Keseluruhan rantaian melibatkan beribu jurutera.

 Ada beberapa industri yang memerlukan kejuruteraan berteknologi tinggi yang beliau boleh pilih ketika itu. Tapi yang mana paling sesuai untuk Malaysia? Pada asalnya beliau ada terpikirkan tentang industri aeronautik atau bahasa mudahnya industri pembuatan kapal terbang. Tapi cuma satu masalahnya industri ini tidak mempunyai pengeluaran yang banyak. Pengeluarannya terhad maka tak banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. 

Akhirnya beliau beralih kepada automotif dan nampaknya industri ini lebih sesuai kerana industri automotif mempunyai rantaian pembekal yang panjang dan mempunyai jumlah pengeluaran yang besar. Kebetulan ketika itu masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kereta. Peluang untuk industri ini berkembang adalah besar.
Sebelum itu sudah ada beberapa kilang pemasangan kereta di Malaysia cuma berskala kecil. Maka asasnya sudah ada cuma perlu dikembangkan sahaja.

Satu lagi jika industri automotif berkembang, ia juga akan mewujudkan lebih banyak dealer, service center, spare part supplier, kedai accessories dan pelbagai lagi perniagaan sampingan yang kita tak terfikirkan. Maka bayangkan betapa besarnya industri ini dapat menjana ekonomi dalam negara berbanding dengan industri lain.

Ketika itu juga beliau kagum dengan Jepun kerana mereka adalah gergasi ekonomi dunia ketika itu. Maka beliau jadikan Jepun sebagai role model kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Untuk menjadikan Malaysia bersedia menghadapi perancangan besar ini, beliau perlu mewujudkan sistem sokongan yang bagus dari segi aspek pembangunan sumber manusia. Maka lahirlah program dasar pandang ke timur dimana ramai pelajar ditaja untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun. 

Bukan sahaja pulang dengan sijil, diploma, ijazah, master atau phd; graduan dari program ni juga membawa kemahiran bertutur dalam bahasa Jepun. Ini dapat memudahkan lagi syarikat syarikat Jepun beroperasi dan berkembang di Malaysia.

Kesimpulannya industri automotif negara bukan sekadar duit semata-mata. Ianya juga adalah agenda untuk menaikkan taraf hidup orang melayu. Adakah ianya berjaya? Saya boleh katakan ya sebab hari ini kebanyakan kilang kereta di Malaysia ni majoriti pekerja adalah Melayu. Dari peringkat bawahan hingga atasan. 

Cuma Tun Mahathir mempunyai cita cita yang lebih tinggi dan bukan sekadar membuat kereta CKD saja. Beliau mahukan Malaysia untuk memiliki jenama kereta sendiri. 

 Di post yang berikutnya saya akan ceritakan bagaimana idea ini tak disenangi oleh Jepun dan juga orang Malaysia sendiri. Cerita ini disampaikan sendiri kepada saya oleh individu yang lantang membangkang idea ini di media massa awal 80an hingga akhirnya beliau dipanggil ke pejabat Tun Dr. Mahathir.

Stay tuned!
Any comment?








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara scan dokumen dan IC depan belakang free dengan menggunakan handphone

Panduan Mudah: Klaim Balik Insurans Kereta yang Tidak Digunakan selepas Jual Kereta

Nasi Kandar Ali Khan, Sungai Dua Butterworth