Roti Canai Transfer Road: Kecewa dan Rasa Terpedaya di Gerai Makanan Terkenal Pulau Pinang


Pulau Pinang memang dikenali dengan pelbagai hidangan sedap dan unik, terutamanya dalam bidang masakan India. Salah satu hidangan yang sangat popular di kalangan penduduk tempatan dan pelancong adalah roti canai. Pelbagai gerai roti canai tersebar di seluruh Pulau Pinang, namun terdapat satu gerai yang menjadi perbualan ramai - Roti Canai Transfer Road.
Roti Canai Transfer Road terletak di persimpangan Jalan Transfer dan Jalan Argyll di Georgetown, Pulau Pinang. Gerai ini telah mendapat pengiktirafan dan terkenal di kalangan pelancong. Oleh kerana itu, saya yang telah tinggal di Pulau Pinang selama hampir 20 tahun cuba mendapat pengalaman sendiri dengan mengunjungi gerai yang terkenal ini. Kebetulan saya ada urusan di bahagian pulau dan ada lebihan masa . 

Satu perkara yang perlu saya kongsikan adalah mencari jalan ke gerai ini tidak semudah yang disangka. Saya tidak mahir dengan kawasan ini, jadi saya bergantung kepada Google Maps untuk sampai ke destinasi. Mencari tempat letak kereta juga merupakan satu cabaran. Selepas berputar-putar selama beberapa minit, akhirnya saya berjaya mendapatkan tempat letak kereta yang berdekatan dengan gerai Roti Canai Transfer Road.
Sesampai di gerai, suasana tenang sebab waktu sudah lebih 11am dan bukan lagi masa yang sesuai untuk sarapan. Pekerja gerai mendekati saya dan menawarkan hidangan. Agak kelam-kabut caranya. Tanpa disedari, dia merujuk kepada roti canai 2. Saya hanya menginginkan sesuatu yang ringan sebab saya nak makan untuk tengahari nanti, jadi saya memberitahu pekerja gerai tersebut yang satu roti canai sudah mencukupi. Hanya nak rasa. Paling tidak bila orang cerita pasal roti canai transfer road, saya tahu lah serba sedikit. Kemudian ditanya pada saya "ayam? ". Saya ingatkan dia tanya nak kuah ayam ke kuah ikan, dhal dsb. Maka saya sebutlah ayam sebab mungkin itu kuah yang biasa orang pesan. 

Namun, selepas hidangan itu diletakkan di hadapan saya, saya terkejut. Apa yang saya dapat bukanlah roti canai biasa sebagaimana yang saya sangkakan. Roti canai ini adalah roti canai telur. Dah makan baru saya sedar. Diiringi pula dengan sekeping ayam peha yang saya sedar kewujudannya masa hidangan dibawa ke meja. Saya ingatkan ia bermaksud nak kuah ayam atau kuah ikan awalnya. Rupanya ayam seketul dia bagi. 

Awalnya, saya menganggap bahawa roti canai ini berbeza dengan roti canai biasa. Tetapi setelah mencubanya, saya dapati rasa roti canai ini hanya boleh dikatakan biasa-biasa sahaja. Pulau Pinang ada banyak lagi tempat yang menyajikan hidangan roti canai yang lebih sedap.

Belum cukup dengan kekecewaan rasanya, selepas saya selesai makan, saya diberitahu bahawa harga hidangan yang saya pesan adalah RM9.50. Saya terkejut dan kecewa. Roti canai telur RM2.50 dan ayam adalah RM7.  Kiranya, saya teraniaya dengan bayaran hampir RM10 untuk makanan yang pada rancangan awal hanya menjadi hidangan ringan. RM9.50 makan nasi berlauk pun dah tentu kenyang dan puas hati. Nasib baik saya pergi seorang. Kalau pergi berlima dengan keluarga, hampir RM50! Budget sarapan seperti ini semestinya bukan untuk orang B40 macam saya. Bila sudah menghabiskan RM9.50 untuk roti canai pada 11:30am, anda rasa saya ada mood untuk makan tengahari? Semestinya tidak. Maka kejadian ini telah mengganggu perancangan awal saya nak makan nasi kandar di Pulau. Saya terus pulang ke rumah di Seberang Perai. 

Inilah satu pengajaran berharga untuk saya dan juga pelawat lain yang ingin mencuba roti canai di gerai ini. Sudah tentu, pendekatan pekerja gerai yang secara sembarangan menawarkan pilihan dua roti canai telur dan sekeping ayam tanpa memberi pelanggan buat pesanan dengan tenang patut dielakkan. Ini tak ubah seperti pekerja itu sendiri yang order makanan mengikut citarasa sendiri dan bukannya pelanggan. Yang saya nak adalah simple roti canai kosong dengan kuah kari. Itu sahaja. 

Mungkin juga niat dia semata-mata untuk menghabiskan semua roti canai dan lauk yang masih berbaki pada hari itu. Maka dia dah set satu kaedah atau skrip supaya pelanggan order makanan yang lebih dari keperluan asalkan baki roti canai dan lauknya habis. Pelbagai ulasan dari pengunjung lain di Google Maps juga seiring dengan pengalaman yang saya alami.
Menilik sejarah gerai Roti Canai Transfer Road, ia memang telah wujud sejak bertahun-tahun lalu. Mungkin, cita rasa roti canai di gerai ini telah melekat dan menjadi rebutan di kalangan penduduk tempatan. Mungkin juga saya hanya telah merasa satu hidangan yang tidak begitu memuaskan berbanding dengan hidangan lain disitu. 

Namun begitu, jangan terlalu cepat menghakimi roti canai ini hanya melalui pengalaman saya. Setiap individu mempunyai cita rasa yang berbeza dan mungkin gerai Roti Canai Transfer Road ini tetap menjadi tempat kegemaran sesetengah pihak. Mungkin juga ada kualiti dan kesegaran  pada hidangan roti canai di gerai ini yang berbeza daripada gerai lain. Kita semua mengejar kepuasan diri dalam mencari hidangan sedap, jadi mungkin bagi sesetengah pihak, Roti Canai Transfer Road tetap menjadi destinasi terbaik mereka dalam mencari hidangan roti canai yang unik dan lazat di Pulau Pinang.

Jadi, jika anda ingin mencuba roti canai di Roti Canai Transfer Road, pastikan anda bersedia dengan kekecewaan yang mungkin anda alami. Jika tidak, masih banyak lagi tempat-tempat makan yang menawarkan hidangan roti canai yang memuaskan di Pulau Pinang. Jangan lupa, nikmatilah pengalaman mencuba pelbagai hidangan yang unik dan lazat ketika anda berada di Pulau Pinang yang terkenal dengan kepelbagaian masakannya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara scan dokumen dan IC depan belakang free dengan menggunakan handphone

Panduan Mudah: Klaim Balik Insurans Kereta yang Tidak Digunakan selepas Jual Kereta

Nasi Kandar Ali Khan, Sungai Dua Butterworth