Ketahui 7 Sebab utama pinjaman perumahan ditolak dan cara untuk pastikan pinjaman perumahan anda lulus
Zaman sekarang bukan senang untuk cari pembeli rumah yang layak untuk membeli rumah. Kali ni kita nak kupas apakah masalah utama yang menyebabkan pinjaman perumahan bakal pembeli sering ditolak oleh Bank dan cara untuk pastikan permohonan anda diluluskan. Maklumat yang saya kongsikan ini adalah berdasarkan dari perbincangan dengan beberapa pegawai bank dan pengalaman sendiri dalam menguruskan pinjaman perumahan untuk pembeli yang membeli melalui saya.
Rekod pembayaran hutang yang tidak cantik.
Bank boleh tengok rekod anda melalui CTOS dan CCRIS. Kalau anda ada hutang tetapi selalu lambat bayar atau bayar kurang, bagaimana pihak bank boleh percaya yang anda mampu untuk membayar hutang baru dengan baik? Secara amnya bank hanya akan bagi pinjaman kepada mereka yang berdisiplin dalam melunaskan hutang. Maka pastikan hutang anda dibayar tepat pada masanya.
Tiada rekod CCRIS.
Jangan ingat jika anda tidak pernah berhutang, anda boleh terlepas dari kategori pertama. Ini juga antara masalah utama kerana jika tiada rekod langsung, bagaimana bank boleh tahu bahawa anda adalah seorang yang berdisiplin dalam membayar hutang? Selalunya bank akan cadangkan anda untuk ambil kad kredit dan buktikan yang anda adalah individu yang berdisiplin dalam membayar hutang selama 6 bulan. Namun untuk hal ini, bank mungkin boleh bagi pengecualian sekiranya umur anda masih muda tetapi bergaji besar.
Tiada pendapatan yang stabil
Jika pendapatan anda tidak menentu, bagaimana bank nak percaya bahawa anda mampu untuk membayar hutang mereka secara konsisten? Bayangkan kalau bulan depan pendapatan anda kurang separuh atau tiada langsung. Dah tentu anda akan menghadapi masalah untuk membayar hutang. Individu yang bekerja sendiri kena berhati hati tentang bab ini. Untuk yang kerja bergaji pula, walaupun gaji puluhan ribu contohnya pemain bola sepak, anda juga ada masalah untuk membuat pinjaman bila kelab bola sepak anda tidak membayar gaji pemain. Maka pastikan pendapatan anda stabil.
Pekerjaan tidak stabil
Selain dari pendapatan tidak stabil, ada juga yang masuk dalam kategori pekerjaan tidak stabil. Contohnya jika kerja anda adalah lantikan kontrak, bagaimana anda boleh jamin bahawa tahun depan kontrak anda akan disambung? Jika anda mempunyai lantikan tetap dan bergaji stabil sekalipun, tetapi pekerjaan atau majikan anda terlibat dalam sektor yang berisiko tinggi, mungkin permohonan anda juga akan ditolak. Contohnya ketika zaman Covid dahulu, boleh dikatakan semua pekerja dalam bidang sektor pelancongan dan penerbangan tidak dapat pinjaman untuk membeli rumah. Pernah satu ketika pekerja sektor minyak dan gas pun susah untuk mendapatkan pinjaman kerana zaman itu terdapat banyak syarikat minyak dan gas membuang pekerja mereka. Bank bukan tengok anda sahaja tetapi dengan siapa anda bekerja juga. Maka tukar syarikat atau bidang yang lebih stabil jika perlu.
Tiada bukti pendapatan ataupun dokumen sokongan
Untuk kes begini rasanya semua orang faham. Semua perlukan bukti. Ada yang awalnya bagi tahu agen yang gaji mereka adalah RM3000 sebulan tapi lepas dapat slip rupanya RM1800 shaja. Rupanya RM3000 itu adalah gaji termasuk OT dan Bonus. Kalau slip gaji RM3000 sebulan tapi yang masuk ke dalam bank adalah RM10000 sebulan pun masalah juga. Dari mana datangnya duit tu? Adakah dari rasuah atau dari aktiviti penggubahan wang haram? Kalau anda masuk penjara, siapa pula nak tolong bayar hutang nanti? Atau adakah company anda masukkan gaji pendatang haram melalui akaun anda dan kemudian anda pula yang keluarkan duit tersebut untuk diserahkan kepada mereka secara tunai? Bank boleh kesan jika terdapat sesuatu yang mencurigakan dari aktiviti duit keluar masuk akaun anda. Kalau bank curiga, mereka ada hak untuk bertanya atau tolak permohonan anda. Maka pastikan dokumen sokongan semua lengkap.
Nisbah hutang yang sudah terlalu tinggi Kalaulah gaji RM3 ribu tetapi hutang sekarang sudah mencecah RM1800, ini bermakna nisbah hutang anda adalah 60%. Untuk individu bergaji RM3000, nisbah hutang 60% boleh dikatakan sudah agak tinggi. Bagaimana anda nak meneruskan kehidupan jika anda menambah hutang baru? Secara amnya kos untuk hidup satu keluarga sekarang lebih kurang sebanyak RM1000. Nilai ini mungkin hanya cukup untuk makan, petrol, bil utiliti, sekolah anak, pengasuh dan belum lagi termasuk duit untuk beraya, melancong, dsb. Setiap peringkat gaji ada nisbah masing-masing. Ada yang 60% dan ada yang 80% bergantung kepada gaji. Secara amnya lagi tinggi gaji, lagi tinggi lah nisbah pendapatan yang dibenarkan untuk anda berhutang. Pembeli rumah pertama yang sangkut disini selalunya mereka telahpun membuat pinjaman peribadi yang besar dan membeli kereta yang mahal. Maka elakkan pinjaman peribadi dan pakailah kereta seadanya.
Menjadi gerentor kepada seseorang yang telah pun blacklist oleh Bank.
Bab ni rasanya jelas dan tak perlu diperjelaskan lagi. Selagi yang kita gerenti itu ada masalah bank, selagi itulah kita tidak akan mendapat pinjaman. Maka jangan jadi gerentor kepada sesiapa pun selagi anda belum lagi ada rumah.
Sekarang anda dah tahu sebab sebab utama pinjaman perumahan ditolak oleh bank. Jom rancang dari sekarang untuk membolehkan anda membeli rumah tanpa ada masalah.
Kalau ada soalan lanjut boleh Click www.wasap.my/60164449278/nakbeli
Ulasan
Catat Ulasan