Insiden di Restoran mamak Deen Mutiara

Setiap Isnin hingga Jumaat, saya disiplinkan diri dengan diet makan yang ketat. Bukan apa, saya tahu betapa lazatnya makanan yang menanti saya pada hujung minggu. Isteri saya, tanpa gagal, pasti akan mengajak saya makan di kedai mamak kegemaran kami, Deen Mutiara.
Deen Mutiara memang tidak pernah mengecewakan. Dari nasi kandar hingga roti canai, semuanya ada. Namun, pengalaman saya kali ini di Deen Mutiara bukan hanya tentang makanan yang enak, tetapi ada satu insiden. 

Semalam, seperti biasa, kami memilih meja dan duduk. Kedai agak sesak, mungkin kerana hujung minggu. Di sebelah meja kami, ada seorang perempuan muda yang juga kelihatan sabar menunggu pesanannya. Biasanya, di kedai mamak, jika kita ingin memanggil pelayan, kita akan menggunakan panggilan "Ané".

Namun, kali ini berbeza. Perempuan di meja sebelah kami cuba memanggil pelayan dengan panggilan "Tambi". Saya terkejut seketika, tidak tahu sama ada mahu marah, ketawa, atau menangis. Sebab yang dipanggilnya itu umur lebih kurang saya. 

Pelayan yang dipanggil "Tambi" kelihatan terpinga-pinga, mungkin sedikit terganggu dengan panggilan tersebut. Namun, dia tetap profesional dan terus melayani perempuan tersebut tanpa sebarang masalah. Saya dan isteri saling berpandangan, menahan ketawa. Situasi ini memang lucu, tetapi pada masa yang sama, ia menunjukkan betapa pentingnya memahami budaya dan bahasa dalam komunikasi harian kita. Kalau tak faham bahasa lain, lebih baik cakap dalam bahasa Melayu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Cara scan dokumen dan IC depan belakang free dengan menggunakan handphone

Panduan Mudah: Klaim Balik Insurans Kereta yang Tidak Digunakan selepas Jual Kereta

Nasi Kandar Ali Khan, Sungai Dua Butterworth