Kenangan bersama Lagenda Lumba basikal negara

Pada zaman kanak-kanak saya, saya sering berpeluang bergambar dengan pasukan lumba basikal Malaysia. Ini kerana bapa saudara saya adalah jurulatih pasukan itu dan pernah mewakili Malaysia dalam acara lumba basikal Road Race di Sukan Olimpik Munich 1972. Mak saya pernah berkongsi bahawa pasukan Malaysia sering singgah di rumah tok saya di Sungai Petani sebelum berbasikal ke Alor Setar sebagai latihan.

Ada satu kenangan yang saya tidak akan lupa ketika pasukan lumba basikal singgah di rumah kami di Pangkalan TLDM Lumut. Kami tinggal di tingkat tujuh, dan banyak basikal racing diangkut menggunakan lif. Basikal-basikal mahal itu disusun sepanjang koridor, menjadikan suasana sangat meriah dan mengujakan penduduk blok A5. Basikal lumba tiada tongkat maka ianya disandarkan ke dinding. 

Bapa saudara saya adalah individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pasukan trek basikal Malaysia, dengan tujuan memastikan Malaysia meraih pingat di peringkat Olimpik. Fizikal orang Malaysia lebih sesuai dengan acara trek berbanding Road Race. Semasa kecil, saya sering melihat beliau di dalam TV berada di belakang pelumba basikal seperti M Kumaresan, Rosman Alwi, dan ramai lagi pelumba basikal popular anak-anak 80an-90an. Paling terakhir saya nampak beliau di TV adalah pada Sukan SEA Palembang pada tahun 2011.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Sukan di Terengganu Cycling Team dan kita boleh nampak ramai pelumba basikal yang mewakili Malaysia termasuk Azizul Hasni Awang pun berasal dari Terengganu.

Beliau pernah berkongsi antara cabaran utama dalam pembangunan sukan lumba basikal di Malaysia, adalah meyakinkan ibu bapa supaya memberi sokongan kepada anak-anak mereka yang berbakat dalam sukan ini. Ibu bapa sering bimbang anak-anak mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada akademik. Lagipun, sukan di Malaysia seolah-olah tiada masa depan bagi ramai ibubapa. Namun, beliau tetap bersemangat memajukan sukan ini dengan membuat special arrangement dengan pihak Universiti supaya kebimbangan ibubapa dapat dikurangkan. 

Kepakaran beliau dalam pembangunan sukan lumba basikal juga ditagih oleh negara-negara lain. Beliau pernah menceritakan pengalaman beliau di Arab, di mana latihan terpaksa dibuat dua kali sehari kerana suhu boleh mencecah 50°C pada waktu tengah hari. Pelatih akan datang kembali pada petang apabila suhu sudah turun.

Betapa besar jasa beliau dalam mengangkat sukan lumba basikal negara kita. Jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Fazin Saad.(dua dari kiri). Saya paling kecil baju merah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan