Kisah Seram di Jalan Sepi Pantai Kuantan

Pada suatu malam, Yusnizi dari Kuantan terpaksa menghantar saudaranya pulang ke rumah sewa di bandar tempat dia bekerja. Malam itu ternyata bukan malam biasa kerana saudara Yusnizi sedang menghadapi gangguan sihir buatan orang. Sewaktu sampai di rumah sewa, tanpa sengaja Yusnizi terlihat sesuatu di kawasan semak depan rumah. Keadaan itu memaksanya bertanya, "Apa tu?"

Namun, teguran spontan itu membuat saudara Yusnizi terkejut. Dia tidak pernah bercerita mengenai masalah gangguan sihir yang dihadapinya, apatah lagi untuk membayangkan orang lain boleh nampak apa yang dia alami. Mungkin kerana itu, dia mula membuka cerita kepada Yusnizi, mengadu segala yang sedang dilaluinya. Mereka duduk berjam-jam di dalam kereta, berbincang tanpa sedar malam sudah semakin larut.

Jam menunjukkan sekitar 2 pagi, Yusnizi memutuskan untuk pulang. Dia seorang diri dan perjalanan ke rumah pula jauh. Saudara Yusnizi ada memberi amaran bahawa ‘benda’ itu mungkin marah kerana Yusnizi terlalu banyak bertanya. Dia malah bertanya, “Berani ke nak balik sorang-sorang waktu macam ni?” Namun, Yusnizi menjawab dengan tenang, “Macam mana pun aku kena balik malam ni. Tawakkal saja, Allah ada.”

Dengan keyakinan itu, Yusnizi memilih jalan pintas melalui tepi pantai yang sunyi. Laluan itu biasanya lebih cepat kerana tiada banyak kenderaan, tetapi suasana malam itu terasa lain macam. Semasa memandu keluar dari kawasan rumah, Yusnizi mula rasa seram sejuk. Walaupun tiada bunyi ganjil, hati kecilnya terasa tidak sedap. Semakin jauh dia memandu, semakin sunyi jalan di tepi pantai tersebut. Tidak ada kenderaan lain yang kelihatan, hanya dia seorang di situ.

Tiba-tiba, di tengah fokusnya memandu, bahunya terasa dicuit. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Walaupun cuba buat tidak tahu, cuitan itu makin terasa. Yusnizi hanya mampu berkata perlahan, “Tak payah kacau aku. Aku dah kahwin, ada keluarga. Ramai lagi orang bujang kat luar sana. Kacau mereka saja.”

Secara aneh, seolah-olah 'benda' itu mendengar kata-katanya. Cuitan tersebut berhenti. Namun, rasa lega Yusnizi tidak lama. Ketika dia meletakkan tangan di atas arm rest dekat gear, tiba-tiba ada sesuatu yang memegang lengannya dengan kuat. Terasa seperti ada seseorang yang menggenggam lengan itu, dan rasa takut mula menguasai dirinya.

Tanpa berlengah, dia terus mencapai telefon dan menghubungi gurunya. Guru tersebut menjawab panggilannya dengan tenang, malah sempat tertawa kecil seolah-olah sudah tahu apa yang sedang berlaku. Tanpa perlu Yusnizi menjelaskan apa-apa, gurunya hanya memberi nasihat ringkas: "Berhenti di mana-mana masjid atau surau, ambil wudhu dan buka pintu kereta. Minta ‘benda’ itu keluar."

Yusnizi akur dengan nasihat tersebut. Tidak lama kemudian, dia melalui kawasan kampung yang masjidnya terbuka pintu pagarnya. Jam sudah menunjukkan sekitar 4 pagi. Dia berhenti, memarkir kereta di luar pagar masjid tanpa mematikan enjin. Tanpa membuang masa, dia menuju ke kolah masjid, mengambil wudhu, dan kembali ke kereta. Mengikut arahan gurunya, dia membuka pintu penumpang dan pintu belakang, lalu berkata, "Sampai sini saja aku boleh tumpangkan kau."

Dengan hati-hati, dia melakukan satu petua lama yang diajarkan gurunya, memangkah tanah dengan ibu jari kaki untuk memastikan 'benda' itu tidak lagi mengikutnya. Selesai semuanya, Yusnizi masuk kembali ke dalam kereta. Ajaibnya, rasa seram dan tidak sedap hati itu hilang serta-merta. Dia tahu bahawa 'benda' tersebut sudah tidak berada dalam keretanya.

Perjalanan pulang selepas itu berjalan lancar. Akhirnya, Yusnizi selamat tiba di rumah bapanya tepat sebelum waktu Subuh, tanpa sebarang gangguan lagi. Pengalaman itu memberikan pengajaran kepada Yusnizi untuk lebih berhati-hati di masa depan. Kadang-kadang, benda-benda ghaib ini lebih baik dibiarkan tanpa sebarang teguran.

Wallahualam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan