Pengalaman Seram Salmiah di Cameron Highlands: Penunggu Yang Tak Diundang

Cameron Highlands—siapa sangka tempat yang terkenal dengan pemandangan indah dan suhu yang nyaman juga menyimpan kisah seram yang tak terduga? Bagi Salmiah, kisah ini tidak akan dilupakan. Semuanya bermula ketika dia dan keluarga besarnya memutuskan untuk bercuti di sana, menikmati udara sejuk dan kebun strawberi. Tapi percutian yang sepatutnya menyeronokkan itu bertukar menjadi pengalaman yang mengerikan.

Malam itu, semua ahli keluarganya mengalami gangguan yang tak dapat dijelaskan. Suaminya yang tidur dalam keadaan lengkap berpakaian, tiba-tiba bangun hanya dengan tinggal sehelai spenda! Anak buah, mertua—semua kena kacau. Dan Salmiah? Dia juga tak terlepas.

Ketika sedang memasak oden pada jam 1 pagi, tiba-tiba ada sesuatu yang 'menyertai' mereka. Peralatan dapur seperti cawan dan sudu mula bergerak sendiri. Cawan ditarik, sudu dibaling, pinggan jatuh seolah-olah ada tangan yang tak kelihatan mengganggu. Salmiah, yang ketika itu sudah sangat lapar, tidak merasa takut langsung. "Aku tengah lapar, auto tak takut," katanya, mengingati kembali situasi ketika itu. Dia marah dan menengking, tapi tetap meneruskan masakannya. Selesai memasak, dia membuat secawan hot chocolate dan menikmati strawberi segar sambil menonton drama Korea di telefon. Gangguan tidak berhenti di situ—sliding door rumah itu diketuk-ketuk dari luar. Namun, Salmiah yang sudah hilang sabar, membuka pintu itu seluas-luasnya, menarik kerusi dan duduk menghadap ke luar, menikmati buah sambil terus menonton hingga ke waktu subuh.

Pagi keesokan harinya, suasana di rumah itu terasa aneh. Semua orang kelihatan blur, seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka. Hanya ketika mereka tiba di Kuala Lumpur, barulah semuanya mula bercerita tentang apa yang berlaku pada malam terakhir di Cameron Highlands. Rupa-rupanya, bukan Salmiah seorang yang diganggu. Suaminya dan ahli keluarga lain turut mengalami gangguan pelik. Masing-masing mengadu, tetapi anehnya tiada siapa yang keluar dari bilik sepanjang malam.

Salmiah, yang ketika itu berjaga di balkoni hingga pagi, hairan. "Kalau korang tak tidur, kenapa korang tak keluar bilik? Mak unggal berjaga sampai pagi duk lepak balkoni!" katanya. Yang lain hanya terdiam, terkejut bila mendengar bahawa Salmiah berjaga sepanjang malam. "Seriuslah mak unggal? Kenapa kami tak dengar apa-apa bunyi? Ingatkan mak unggal tidur!"

Gelak besar mereka selepas itu. Mereka tak habis fikir bagaimana Salmiah boleh begitu berani menghadapi gangguan itu sendirian. "Macam mana mak unggal boleh berani gila eh?" tanya mereka. Salmiah hanya menjawab selamba, "Kalau kau dah lapar tahap gaban, antu pun kau boleh kunyah!" Suasana yang tadinya tegang kini pecah dengan gelak ketawa masing-masing.

Salmiah memang seorang yang suka melancong, dan sudah banyak tempat yang dia kunjungi. Dari pengalamannya, hampir semua hotel yang pernah dia diami ada ‘penunggu’. Bermacam jenis gangguan telah dia alami, tapi Salmiah bukanlah jenis yang mudah terpengaruh. Dia tidur-tidur ayam, dan sering berjaga di waktu malam, menikmati suasana sunyi. Mungkin kerana itulah dia sudah biasa diganggu oleh ‘makhluk-makhluk’ yang tidak diiktiraf ini.

"Jangan kata hotel," katanya sambil ketawa kecil, "kawasan rumah aku ni pun ada juga penunggu. Macam mana lah aku tak lali!"

Pengalaman seram ini mungkin membuat ramai yang tak berani lagi bermalam di Cameron Highlands. Tapi bagi Salmiah, selagi ada hot chocolate dan strawberi, dia tetap akan menikmati percutiannya—walaupun dengan ‘tetamu’ yang tidak diundang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan