Bilik Hujung di Wad Hospital dan Pintu Hijau
Pengalaman ini terjadi ketika Farhana menemani anaknya yang berusia lapan bulan selepas pembedahan bibir. Mereka ditempatkan di sebuah bilik hujung di hospital, dan anaknya menangis tanpa henti. Dalam usaha menenangkan diri, dia buat video call dengan suami. Tetapi, ada sesuatu yang pelik terjadi.
Pintu bilik air yang sudah dia pastikan tertutup rapat tiba-tiba kelihatan terbuka luas dalam video call. Pintu itu berwarna hijau, kontras dengan dinding putih bilik. Farhana berpaling beberapa kali untuk memeriksa, dan setiap kali fia lihat, pintu itu tetap tertutup. Tetapi dalam video call, ia terus kelihatan terbuka.
Setelah panggilan tamat, suami dia menghantar mesej mengatakan dia juga nampak pintu bilik air terbuka dalam video call tadi. Ini mengesahkan ia bukan ilusi.
Tanpa banyak berfikir, dia terus ambil kerusi dan duduk menghadap pintu bilik air itu. Dalam keadaan letih dan tertekan, dia nekad berkata, “Kau kalau berani, kau keluar. Memang aku tampar je kau nanti!” Berani berkata begitu bukan kerana tidak takut, tetapi kerana keletihan yang melampau. Dalam situasi PKP, suami tak boleh masuk untuk membantu, dan Farhana pula tak sempat makan kerana anak menangis kesakitan tanpa henti.
Ajaibnya, selepas itu suasana terus aman. Anak Farhana berhenti menangis dan tertidur dengan tenang. Dia tidak membaca ayat-ayat Al-Quran ketika itu, hanya pasang zikir penenang untuk anak.
Rakan jururawat kemudian memberitahu, bilik yang dia diami itu betul-betul terletak di atas rumah mayat. Mereka juga berkata sudah ramai mengalami gangguan di situ. Mujur gangguan kali ini tidak melampau. Kalau lebih-lebih, mungkin “dia” akan jadi penghuni pertama ward itu yang kena admit!
Nota: Kadangkala, keberanian datang tanpa dirancang, lebih-lebih lagi bila kita sudah sampai tahap letih dan tertekan.
Ulasan
Catat Ulasan