Kos sara hidup yang tinggi di Pekan, Pahang. Cabaran anak muda.

Lebih 10 tahun yang lalu di Pekan Pahang, saya dan kawan saya yang bernama Ahmad Zakri selalu makan tengah hari di warung depan kilang Hicom Automotive Manufacturing ( M) Sdn. Bhd. Warung itu dimiliki oleh orang Melayu Kemboja dan menawarkan harga makanan yang agak murah berbanding warung lain di Pekan. Warung itu telah menjadi tempat kegemaran kami kerana selain dari harga yang agak berpatutan, makanan yang disajikan juga sangat sedap.
Namun, hari ini setelah lebih dari 10 tahun tidak singgah ke warung tersebut, saya cuba singgah makan di sini dan teruja apabila melihat ramai budak muda sedang makan di sana. Saya menganggarkan mereka adalah pelajar dari Universiti Automotive atau mungkin operator baru di kilang. Saya teringat betapa harga makanan di warung itu agak murah dahulu, tetapi hari ini apabila saya membayar, saya terperanjat. Sepinggan nasi dengan lauk ikan keli goreng dan tempe goreng campur macam gambar dikenakan bayaran sebanyak RM11.50! Biasanya kalau ditempat saya, tak lebih dari RM7. 

Saya menghela nafas seraya merenung beg duit. Memang tidak dinafikan bahawa kos sara hidup semakin meningkat tetapi bagi saya, perbezaan harga yang begitu ketara berbanding tempat saya (Penang) benar-benar mengejutkan. Pada zaman saya bekerja di Pekan, makan tengah hari di warung itu memerlukan bajet yang agak munasabah. Tetapi kini, dengan harga yang begitu tinggi, saya merasakan betapa sukar untuk hidup di Pekan jika pendapatan tidak mencukupi.

Sambil menikmati makanan,saya melihat sekeliling dan memerhatikan bagaimana budak-budak muda dan operator baru di kilang kami mampu untuk hidup dengan harga makanan yang begitu tinggi. Mereka nampak gembira dan ceria, tetapi saya yakin di sebalik keceriaan itu, mereka juga menghadapi cabaran yang berat. 

Nak duduk Pekan ni, duit kena ada. Lepas berhenti kerja di Pekan dan balik kerja di Penang dulu memang terasa sangat bila makan tengah hari kat warung Penang selalu dalam RM4~5 sahaja. 

Saya merasakan bahawa pihak kerajaan negeri dan PBT perlu membuat sesuatu untuk membantu golongan muda seperti mereka. Mereka adalah masa depan negara dan jika mereka tidak mampu untuk hidup dengan baik, masa depan negara juga akan terjejas. Saya rasakan ini bukanlah isu nasional kerana ditempat lain harga makanan masih munasabah. 

Apa korang rasa? Sila tulis di komen. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan